Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Skop Productions saman pereka grafik langgar hak cipta Munafik 2

Syarikat Skop Productions Sdn Bhd telah mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang kakitangan rekaan grafik atas kesalahan melanggar hak cipta filem terbitannya, Munafik 2.

Pengarah, Syamsul Yusof mendakwa individu terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an bertanggungjawab menyebarkan karya arahannya melalui Facebook dan Instagram.

“Surat saman diserahkan kepada Orang Kena Saman (OKS) jam 10.20 pagi tadi.

“Skop Productions Sdn Bhd membuat satu laporan di Balai Polis Setapak pada 20 September lalu.

“Perbicaraan mahkamah akan bermula pada 22 Oktober ini,” katanya yang ditemui pada sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Klang, Selangor hari ini.

Sejak ditayangkan pada 30 Ogos lalu, Munafik 2 berjaya mencapai kutipan box office sebanyak RM43 juta.

Jumlah itu merangkumi kutipan di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Terdapat individu lain lakukan kesalahan sama

Syamsul yang turut menjayakan Munafik 2 berkata, sememangnya terdapat beberapa individu lain yang turut melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun, selepas diberi amaran mereka memohon maaf selain memadamkan karya berkenaan daripada capaian Internet.

“Tetapi pihak kami tidak dapat mengesahkan sama ada OKS individu sama yang bertanggungjawab merakam visual curi sebelum menyebarkankannya untuk tontonan umum.

“Kami perlu menunggu hingga hari perbicaraan untuk mengetahui maklumat terperinci itu,” katanya.

Kata Syamsul, tindakan diambil supaya memberi pengajaran kepada umum dan bagi memelihara hasil usaha pengkarya tempatan.

“Ini tidak ada kena mengena dengan kutipan box office, tetapi supaya menghalang kejadian seumpama ini daripada terus merosakkan dunia perfileman,” katanya yang bakal muncul dengan Munafik 3 dalam tempoh dua tahun lagi.

Lihat Komen
ADS