Bryan Adams 'puji' jerebu di New Delhi
Menegur secara berlapik - mungkin itu yang dilakukan penyanyi veteran Bryan Adams apabila menggambarkan suasana alam sekitar semasa dia mengadakan konsert di New Delhi, India pada Ahad malam.
Diselubungi udara yang berjerebu penyanyi berusia 58 tahun itu mengadakan persembahan selama beberapa jam bagi menghiburkan peminatnya.
Untuk rekod Adams dijadual mengadakan enam persembahan di lokasi berbeza di seluruh India.
Dia kemudian memuat naik gambarnya di Instagram bagi menggambarkan keadaan semasa beraksi di atas pentas.
“New Delhi anda amat luar biasa malam ini. Dalam imej ini jika anda dilihat dengan teliti, anda akan nampak bayang silhouette saya dalam asap dan jerebu di depan penonton.
"Saya tidak pernah melihat suasana seperti ini sebelum ini. India yang magis,” katanya mengiringi hantaran di Instagram yang dimuat naik semalam.
Secara tidak langsung penyanyi lagu Please Forgive Me itu memaparkan realiti pencemaran udara yang berlaku di New Delhi.
Menurut laporan BBC, kualiti udara di pelbagai bandar raya di India memang berada pada tahap yang buruk. Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan ibu negara India itu adalah tempat keenam paling tercemar di dunia.
Keadaan udara di New Delhi dan sekitarnya juga merosot ketara pada minggu ini dan dikategorikan sebagai “teruk.”
Gambar menunjukkan bayang hitam yang dirakam peminat - sambil memasang lampu pada telefon genggam - diambil Adams di Leisure Valley Park di Gurgaon, barat daya New Delhi.
Perkongsian gambar itu mengundang pelbagai reaksi termasuk yang menyindir India.
Antaranya, seorang netizen yang menulis: “Sekurang- kurangnya ada juga kebaikan pencemaran udara di Delhi, hahaha.”

