Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) menawarkan program khairat bagi meringankan beban waris selepas seseorang penggiat seni meninggal dunia.

Dengan carumah serendah RM100 setahun, Pengerusi YKAT Datuk DJ Dave berkata program itu memang bukanlah baru sebaliknya suatu skim yang diberi nafas baru.

Katanya program itu pernah diperkenalkan ketika YKAT dikenali sebagai Yayasan Artis 1Malaysia.

Dengan penjenamaan semula persatuan itu katanya skim tersebut akan dilancarkan semula bulan depan, bertujuan membantu penggiat seni tanpa mengira mereka beragama Islam atau bukan.

“Terdapat banyak faedah serta pampasan akan diterima anggota yang menyertai progam Khairat YKAT ini serta waris masing-masing dengan membayar caruman RM100 setahun," katanya.

Menjelaskan program tersebut, Dave berkata untuk anggota beragama Islam, skim berkenaan memberi bantuan untuk pengurusan jenazah lengkap berjumlah RM1,500 pada hari kematian sekiranya diuruskan waris, wang khairat RM3,000 yang diserahkan dalam tempoh 30 hari selepas penerimaan salinan sijil kematian dan salinan kad pengenalan, upah haji percuma atau sumbangan RM1,500 sekiranya diuruskan oleh waris.

Skim Khairat YKAT juga menyediakan pampasan kematian akibat kemalangan bernilai RM10,000.

Untuk anggota bukan beragama Islam pula katanya Khairat YKAT memberi bantuan wang tunai RM1,500 pada hari kematian, sagu hati RM4,500 (dalam masa 30 hari selepas penerimaan salinan sijil kematian dan salinan kad pengenalan) serta pampasan berjumlah RM10,000 kepada waris jika kematian akibat kemalangan.

Kata Dave Khairat YKAT dibuka kepada semua penggiat seni yang berusia 18 tahun hingga 69 tahun.

“Bukan saja kepada artis, kru penggambaran serta wartawan hiburan juga boleh memohon menyertai skim ini," katanya yang ditemui pada majlis menyampaikan sumbangan kepada artis veteran sempena Deepavali di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Sebanyak RM32,000 disumbangkan kepada 16 orang artis terdiri daripada pelbagai kaum bertujuan meringankan beban yang ditanggung menjelang perayaan Deepavali pada November ini.

Kata Dave YKAT akan menyumbangkan sejumlah wang sagu hati kepada artis yang telah banyak berjasa kepada tanah air tidak kira bangsa sama ada Melayu, Cina dan India setiap kali menjelang sesuatu perayaan.

“Selain itu, YKAT juga memberi sumbangan kepada artis yang usianya mencecah 60 tahun sekali seumur hidup dan juga yang memerlukan bantuan kewangan untuk perubatan.

“Sumbangan ini salah satu daripada agenda dan misi YKAT yang diperjuangkan sepanjang penubuhannya iaitu bagi menjaga kebajikan dan memberi pembelaan kepada seluruh artis tempatan,” katanya.

Antara penerima sumbangan adalah vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nash, penyanyi G S Harcaharan Singh, pemuzik Mohideen Shab Mohamad, V Kali Salvan, penyanyi S Subramaniam, pemain keyboard Heavy Machine Kamarulzaman Ahmad Ramli, gitaris Yap Yoke Chee dan penyanyi Choi Ah Wah.

Pada majlis sama, YKAT turut menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah yang meninggal dunia pada 25 September lalu.

Lihat Komen
ADS