Dengan pengalaman hampir empat dekad dalam bidang seni suara, kredibiliti penyanyi yang popular dengan lagu Kau Ilhamku, Man Bai boleh dianggap tidak perlu dipertikai.

Namun di sebalik kedudukan selesa yang dikecapinya hingga hari ini, Man Bai mengaku tetap terbit bimbang dan ada perasaan tidak selesa untuknya menjadi peserta Gegar Vaganza.

Kata Man Bai dia ditawarkan menyertai siri realiti itu pada musim lalu.

“Saya pernah ditawarkan untuk masuk Gegar Vaganza oleh penaja musim lalu, Datuk Seri Vida, tetapi saya tak ambil peluang itu,” katanya.

Pemenang anugerah Penyanyi Lelaki Solo Terbaik Anugerah Industri Muzik 1996 itu berkata ada sebab tertentu mengapa dia enggan menyahut cabaran berkenaan.

Alasan Man Bai, dia 'gerun'.

“Saya berasa malu untuk berhadapan dengan juri-juri dalam program itu kerana mereka semuanya dahsyat-dahsyat belaka,” katanya.

Dah cuba baru tahu

Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman ditemui pada sidang media pengumuman program When Music Speaks di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

When Music Speaks akan menjelajah beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina bagi mengenal pasti bakat-bakat berpotensi untuk dididik sebagi penyanyi. 

Man Bai, 49, akan bergandingan bersama seorang lagi penyanyi, Aishah, sebagai juri untuk sesi saringan pertama yang dijangka bermula pada 4 November ini di Neway Karaoke Box, One Utama, Petaling Jaya.

Penyanyi yang juga popular dengan lagu Masih Aku Terasa dan Harapan Ramadhan itu berkata, dia sengaja mencuba nasib sebagai juri untuk melihat sejauh mana kebolehannya dalam bidang itu.

“Cara untuk kenal diri sendiri salah satu daripadanya adalah dengan menjadi juri. Dulu juga begitu apabila saya menceburkan diri dalam bidang lakonan.

“Kena cuba baru boleh tahu tahap diri kita di mana,” katanya yang pernah berlakon dalam filem Layar Lara yang diterbitkan pada 1997.