'Imej pemandu teksi rosak dek aksi tak senonoh di Langkawi'
Memang susah untuk menafikan bahawa pengalaman buruk lebih banyak dilalui pengguna berbanding kenangan manis apabila seseorang menggunakan perkhidmatan teksi, kata Ahmad Idham.
Malah kata pengarah dan pelakon itu, dia sendiri mengalami beberapa insiden yang tidak memuaskan hati semasa menggunakan perkhidmatan tersebut.
Menurut Ahamd Idham, situasi itu berlaku sebelum wujud perkhidmatan e-hailing seperti Grab sebagai pilihan pengangkutan awam.
“Ketika itu saya tak ada pilihan lain sebagai pengangkutan awam terutama jika dari lapangan terbang.
“Jika saya memerlukan pengangkutan misalnya tengah malam, memang kenalah (bayaran tambang mahal) sebab tidak ada alternatif lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Ahmad Idham, 44, diminta mengulas pendapatnya mengenai sikap beberapa pemandu teksi yang dianggap biadab meninggalkan sesi dialog bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Grab di Langkawi semalam.
Kira-kira 10 pemandu teksi mengeluarkan kata-kata kesat kepada Dr Mahathir semasa sesi dialog berlangsung.
Sesi dialog itu dihadiri kira-kira 200 pemandu yang mendakwa punca pendapatan mereka terjejas kerana pelanggan lebih cenderung memilih Grab sebagai pilihan pengangkutan.
Situasi itu juga menyebabkan Dr Mahathir berkata beliau bersedia untuk melepaskan jawatan yang disandang gara-gara kecewa dengan sikap biadab dipamerkan pemandu teksi terbabit.
Jangan susahkan pemandu teksi
Terdahulu, Ahmad Idham meluahkan perasaan simpati terhadap segelintir pemandu teksi dengan berciap melalui Twitter.
“Kasihannya, disebabkan segelintir sikap tidak senonoh pemandu teksi ini seluruh komuniti mereka terkena impaknya.
"Mungkin ada baiknya komuniti teksi ini membetulkan sikap dalaman mereka dulu. Hakikatnya saya pun pernah ada pengalaman dengan pemandu yang ambil kesempatan harga,” ciapnya.
Kata Ahmad Idham, apabila seorang perdana menteri mengambil tahu masalah yang dihadapi masyarakat, pihak terbabit harus bijak menyuarakan pandangan tanpa dipengaruhi emosi.
“Jika keluar sesi dialog begitu saja, tindakan itu teramatlah tidak sihat. Macam mana orang nak tolong mereka?" katanya.
Untuk rekod semasa dialog itu diadakan Dr Mahathir berkata, Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan dan membayar insuran serta cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan yang adil.
Namun, Ahmad Idham mencadangkan sesuatu yang berbeza.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya memudahkan pemandu Grab menjalankan perkhidmatan mereka selain pada masa sama menyenangkan pemandu teksi untuk bersaing dengan perkhidmatan e-hailing itu.
“Kenapa tak dicadangkan saja teksi jadi macam pemandu Grab daripada Grab jadi macam teksi? Agenda yang menyusahkan rakyat mencari duit dengan Grab tidak perlu ada.
“Pemandu teksi perlu bayar banyak kos hingga mengurangkan pendapatan mereka, isu ini mungkin menjadi antara penyebab mereka menekan pelanggan dengan harga yang tinggi,” katanya.

