Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selebriti kecam Disney tekal papar watak wanita lemah
Diterbitkan:  Oct 23, 2018 1:56 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Beberapa selebriti Hollywood yang menjadi ibu berpendapat, sudah tiba masanya Walt Disney menghentikan paparan watak Snow White atau yang seumpama dengannya kerana dianggap ketinggalan zaman.

Aktres Kristen Bell misalnya berkata dia jelak dengan kisah-kisah ikonik puteri ciptaan Disney itu yang asyik digambarkan hidup dalam penderitaan.

Kristen berkata, dia pernah berbual secara serius dengan anak-anaknya mengenai aksi Snow White - yang disumpah tidur - tiba-tiba dicium putera raja tanpa kebenarannya.

“Tidakkah kamu fikir sangat pelik seorang putera raja mencium Snow White tanpa mendapat izin?

"Kamu tak boleh mencium seseorang ketika mereka tidur,” katanya dalam satu temu bual.

Kristen yang pernah meminjamkan suaranya untuk watak Anna bagi filem animasi Frozen juga mempersoalkan kebijaksanaan Snow White membuat penilaian.

Terpaksa bergantung pada lelaki

“Setiap kali habis membacakan Snow White, saya bertanya kepada anak-anak perempuan saya: tidakkah pelik puteri itu langsung tidak bertanya apa-apa kepada ahli sihir sebelum dia memakan epal yang diberikan?

"Atau dari manakah ahli sihir itu mendapat epal berkenaan?

"Saya kemudian berkata kepada anak-anak, jangan ambil makanan daripada orang tidak dikenali dan mereka memahami," katanya.

Snow White ialah kisah rekaan rakyat yang dikatakan berasal dari Jerman namun begitu popular di seluruh dunia. Kisah itu diterbitkan secara rasmi buat kali pertama pada 1812.

Ia mengisahkan Snow White yang diperdaya ahli sihir sehingga disumpah tidak sedarkan diri sehinggalah dia dicium seorang anak raja.

Pelakon Candice Kilpatrik yang dijangka melahirkan bayi perempuan Januari tahun depan berkata, dia tidak akan mendedahkan anaknya dengan watak-watak puteri Disney sehinggalah tiba masa yang sesuai.

“Snow White digambarkan sebagai wanita lemah dan terpaksa bergantung kepada lelaki untuk keluar daripada kesusahan," katanya.

Seorang lagi pelakon, Keira Knightley, berkata anak perempuannya yang berusia tiga tahun diharamkan daripada menonton Cinderella dan The Little Mermaid.

“Karakter Cinderella daripada karya 1950 perlu menunggu lelaki kaya untuk menyelamatkannya. Jangan begitu, kamu perlu selamatkan diri sendiri,” katanya yang turut mengecam mesej disampaikan dalam The Little Mermaid.

Ada watak positif

Kajian Universiti Brigham Young pada 2016 mendapati kanak-kanak prasekolah yang menonton kisah puteri-puteri terbitan Disney lebih cenderung untuk menjadi pasif dan lebih mementingkan penampilan peribadi.

Pengarang, Sarah M Coine, berkata watak seperti Cinderella dan Rapunzel memiliki sifat submisif dan tidak sesuai dijadikan suri teladan.

Bagaimanapun, Sarah berkata, ibu bapa tidak perlu mengharamkan secara mutlak anak-anak mereka daripada menonton filem Disney sebalikya membimbing mereka supaya memahami apa yang perlu.

“Terdapat watak baik untuk dicontohi kanak-kanak, misalnya Cinderella yang yang rajin dan positif serta melakukan yang terbaik pada situasi yang amat sukar,” katanya.

Malah katanya, Disney semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Memberi contoh watak Puteri Elsa dari filem Frozen dan Moana, Sarah berkata watak terbabit dipaparkan sebagai berdikari dan mampu membuat pilihan bagi diri sendiri.

“Moana seorang daripada watak kegemaran saya kerana dia seorang gadis yang berdikari dan mengikuti laluan sendiri.

“Dia sanggup menggadaikan nyawa demi keluarga dan bentuk tubuh badannya lebih realistik berbanding puteri lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS