Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pertembungan dua generasi di pentas Muzik-muzik 33

Pertembungan antara dua generasi antara yang baru dan berpengalaman menjanjikan persaingan sengit yang bakal menghangatkan lagi penyertaan pencalonan penyanyi tanah air pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 33 (MM33).

Penerbit Eksekutif Muzik-Muzik 33, Nurul Huda Khalid berkata, persaingan sihat itu menunjukkan setiap penyanyi memiliki kemajuan vokal yang tidak perlu dipertikaikan apabila nama mereka diangkat sebagai calon untuk kemuncak acara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) pada Februari depan.

“Pola pada musim ini mempamerkan perubahan yang menyerlah apabila penyanyi yang membuat kemunculan semula berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir MM33.

“Pencapaian itu membuktikan penyanyi-penyanyi ini mampu memberi cabaran dengan vokal yang mantap,” katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan komposer, penulis lirik serta penyanyi yang bertanding pada Separuh Akhir M33, di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Nurul Huda, pemilihan bakat-bakat muda juga tidak bersandar kepada populariti semata-mata sebaliknya ia dinilai berdasarkan kekuatan keseluruhan sesebuah lagu selain vokal dan penyampaian mereka.

"Boleh dikatakan cabaran melangkahkan kaki ke AJL33 sangat besar dan pasti penuh warna,” katanya.

Selepas sedekad menyepi dari radar dunia hiburan, penyanyi seperti Siti Sarah muncul dengan mempertaruhkan lagu Semakin hasil nukilan komposer Mera Utama, Liza Hanim (Mimpi) ciptaan Hafiz Hamidun manakala lirik oleh Fedtri Yahya.

Separuh akhir MM33 menyaksikan 30 lagu bakal bersaing selama tiga minggu bermula 9, 16 dan 23 November ini.

Ini merupakan hentian terakhir bagi 30 lagu yang bersaing dan hanya 12 karya layak mara ke pentas AJL33.

AJL33 bakal menggandingkan Sherry Al Hadad dan Haziq Hot FM sebagai pengacara.

Antara lagu lain yang bertanding adalah Di Mata Mu (Suffian Suhaimi),  Sesungguhnya Aku (Alif Satar), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer), Bercanda Di Malam Indah (Kugiran Masdo), Hikayat Benladin (Ben Ladin), Luluh (Khai Bahar), Sulit (Aman Aziz) dan Kau Pun Sama (Syamel).

Lagu lain yang turut mara adalah Rintihan Cinta (Wany Hasrita), Sampai Bila (Misha Omar), Hajat (Hael Husaini), Selamat Tinggal Sayang (Haqiem Rusli) dan Cakap ke Tangan (Stacy).

AJL33 turut menyaksikan Dayang mendominasi Peringkat Akhir MM33 apabila tiga lagu nyanyiannya berjaya melangkah ke pertandingan berprestij itu.

Tiga lagu tersebut ialah Dia, Layarlah Kembali dan lagu Haram nyanyian duet dengan Hael Husaini.

30 lagu yang terpilih ini adalah hasil undian peminat di carta Muzik-Muzik 33.

Lihat Komen
ADS