Elyana yang kini diuji dengan barah limfoma mendedahkan dia mungkin lumpuh jika gagal menjalani proses rawatan radioterapi sebanyak 10 kali seperti dinasihatkan doktor.
Penyanyi dan pelakon itu berkata, sel kanser yang dihidapinya sejak lebih lima tahun itu sudah merebak hingga ke bahagian saraf tunjang.
“Semalam doktor kata kanser sudah sampai saraf tunjang, jika tak berbuat apa-apa kemungkinan saya boleh lumpuh.
“Jadi hari ini, nak jumpa doktor pakar dan bincang apa yang patut dilakukan,” katanya.
Penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu membuat pendedahan berkenaan melalui beberapa pautan yang dimuat naik pada Insta Story di akaun Instagram miliknya sejak malam tadi.
Rakaman klip video itu menunjukkan pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal itu berada di sebuah pusat perubatan.
Namun, katanya, rawatan radioterapi berkenaan akan dibuat pada waktu dan hari yang berasingan.
Baca semua mesej
Elyana yang juga pelakon filem Dukun menjelaskan, ia adalah pengalaman pertama untuknya menjalani rawatan radioterapi.
“Sebelum ini saya buat kemoterapi saja,” katanya.
Elyana turut berkongsi cerita bagaimana kesan daripada penyakit itu menyebabkan dia turut mengalami masalah kulit kering dan bibir membengkak.
Sementara itu, Elyana mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesihatannya serta pesakit kanser lain.
Katanya kata-kata dorongan itu menjadi pembakar semangat untuknya melawan penyakit tersebut.
Baca Kanser tahap 4 buat Elyana takut tidur malam
“Ramai yang memberi mesej berupa doa dan kata-kata semangat.
"Terima kasih, walaupun tidak dapat balas setiap satu daripadanya tetapi semua saya baca.
“Kepada pesakit kronik yang beritahu bahawa saya memberi mereka semangat, alhamdulillah saya gembira kerana saya tidak menyangka biarpun sakit, secara tidak langsung saya masih bermanfaat kepada orang lain,” katanya.
Melalui rakaman klip video terbaru yang dimuat naik awal petang tadi Elyana menyatakan dia sudah selesai menjalani rawatan radioterapi berkenaan.
Elyana pernah menafikan dia mengidap sebarang penyakit kepada sebuah akhbar enam tahun lalu kerana kurang selesa berkongsi perihal dirinya kepada umum.
Bagaimanapun, selepas diumumkan tersingkir pada minggu kelima Gegar Vaganza 4 Elyana membuat pendedahan mengejutkan. Dia mengaku mengidap kanser kelenjar tahap empat.
