Mak Cun, jenama dipopularkan Erma Fatima dan Rozita Che Wan - kini menjalinkan kerjasama dengan penyedia solusi e-dagang Malaysia, Avana, bagi membantu peniaga kecil membawa perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Usahasama Avana dengan dua selebriti popular itu juga dijangka dapat membantu peniaga kecil tempatan menjana pendapatan melalui ekonomi digital.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Avana, Luqman Adris, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 2,000 usahawan kecil di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Melalui kerjasama berkenaan katanya mereka mampu mengeksport produk masing-masing ke luar negara.

Justeru, kata Luqman Avana berbangga untuk memperkenalkan Mak Cun dan Che Ta sebagai ikon revolusi e-dagang negara ini.

“Mereka adalah contoh usahawan Malaysia yang berwawasan tinggi dan kami percaya selepas ini lebih ramai usahawan yang boleh mengikut jejak mereka berdua dan seterusnya mencapai impian untuk membina bisnes yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Program itu juga dirangka untuk membantu para usahawan membina nilai strategik perniagaan dalam skop tempatan dan seterusnya membawa momentum bisnes ke peringkat global.

Kokurikulum program tersebut merangkumi aspek perancangan bisnes, strategi pemasaran, proses eksport serta syarat dan peraturan global yang perlu diketahui untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Peluang tingkat jualan

Penggunaan aplikasi mudah alih Avana secara langsung juga membantu usahawan membina kedai dalam talian dan menguruskan pesanan pelanggan dengan lebih cepat menggunakan telefon mudah alih.

Aplikasi tersebut juga memudahkan usahawan memuat naik produk dan mengemas kini butiran inventori di hujung jari.

Dengan aplikasi sama, kata Luqman usahawan terbabit boleh terus berkongsi produk mereka di platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan saluran lain supaya pelanggan boleh terus membuat bayaran hanya dengan satu langkah mudah.

Avana menyediakan platform e-dagang serendah RM429 setahun. Kedai dalam talian menggunakan platform Avana boleh terus sedia digunakan kurang daripada setengah jam.

Katanya kemudahan e-dagang seperti inventori, maklumat produk, sistem invois dan sistem perbankan untuk bayaran memudahkan usahawan membina perniagaan yang lebih utuh.

Menerusi platform Avana itu juga, kata Luqman, Mak Cun dan Rozita - atau lebih dikenali sebagai Che Ta - berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing ke pasaran lebih luas sekaligus memudahkan setiap urus niaga dijalankan mereka.

Sementara itu Erma berkata dunia e-dagang membuka satu peluang bisnes yang tiada batasan.

Bagi dirinya kata Erma, siri televisyen yang bermula sebagai watak fiksyen kini berkembang menjadi satu bisnes yang sebenar.

“Watak Mak Cun yang saya cipta mempunyai perniagaan sendiri dan sekarang dengan memanfaatkan Avana sebagai platform telah membantu saya mengembangkan jualan dan jumlah pelanggan yang sedia ada,” katanya.

Che Ta pula berharap lebih ramai usahawan Malaysia menyertai Avana untuk menggunakan kemudahan e-dagang.

“Ini adalah peluang terbaik untuk usahawan mempelajari cara membuka bisnes dalam talian, dan Avana sendiri memudahkan proses bisnes dan membantu meningkatkan jualan anda,” katanya.