Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pembedahan buat Elizad 'cerewet' terima tawaran berlakon

Pembedahan membuang ketumbuhan sista (cyst) sepanjang lapan sentimeter di sekitar ovari Elizad pada 6 September lalu meniupkan semangat baru buatnya yang masih berusaha mahu menimang cahaya mata.

Justeru katanya dia terpaksa memilih tawaran berlakon yang datang kerana tidak mahu menjejaskan harapannya untuk mendapat zuriat.

Pada masa sama aktres yang sinonim dengan watak beremosi dan linangan air mata itu berkata, dia ingin cuba mempelbagaikan lakonannya.

“Jika ada yang bertanya sebelum ini, saya memberitahu, saya tak memilih skrip atau watak.

“Bagaimanapun selepas dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan watak terlampau beremosi, saya fikir ia wajar diambil kira.

“Hal itu sebab usia saya sekarang dah 34 tahun. Enam tahun lagi akan mencecah 40 tahun,” katanya yang ditemui pada sidang media pengumuman Anugerah Skrin ke-22 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Siti Elizad Mohamad Sharifuddin itu menegaskan dia mempunyai alasan tersendiri apabila berbuat demikian.

Kurangkan watak berat

Pelakon drama Syurga Yang Kedua itu juga menafikan dia membuat keputusan tersebut kerana terpengaruh dengan tahyul.

“Bukan nak kata takut kena badi, saya tak percaya perkara sedemikian cuma apabila selalu sangat bawa watak beremosi saya bimbang ia mempengaruhi perasaan dan pemikiran selalu negatif.

“Kalau boleh saya nak jayakan kisah cinta yang penuh kegembiraan atau komedi sekurang-kurang setahun sekali,” katanya.

Sementara itu, suami Elizad, Shamsul Baharin Rahman, turut meminta dia berhati-hati ketika menjalani penggambaran memandangkan isterinya itu tidak boleh banyak bergerak buat masa ini.

“Minggu lepas saya alami pendarahan.

"Suami memang risau dan berkali-kali menasihatkan agar tidak terlalu aktif selain menggesa tidak melakonkan babak yang memerlukan saya melakukan pergerakan melampau.

“Kalau diikutkan, saya memang jenis kuat bekerja tetapi disebabkan beberapa anggota keluarga mempunyai sejarah menderita penyakit kanser dan meninggal dunia, saya kena kurangkan watak berat,” katanya.

Untuk rekod, Elizad mendirikan rumah tangga dengan Shamsul - seorang duda beranak dua - pada 11 Januari 2015.

Lihat Komen
ADS