Polis United Kingdom mempergiat usaha memburu suspek kes curi yang memiliki wajah mirip watak popular dalam sitkom Friends, Ross Geller dilakonkan David Schwimmer selepas aktor itu tampil membersihkan namanya di media sosial.

Schwimmer tampil memberi maklum balas selepas pengguna media sosial melemparkan komen yang mengundang perhatian mengenai pencuri yang menyerupai wataknya dalam drama bersiri popular itu.

Terdahulu, polis memuat naik hantaran Facebook meminta saksi mengenal pasti suspek yang meninggalkan restoran dipercayai melarikan diri sambil membawa satu karton tin minuman.

“Adakah sesiapa mengenali lelaki ini? Kami mahu bercakap dengannya berhubung kaitannya dengan kes kecurian di sebuah restoran pada 20 September lalu.

“Jika anda mengenali lelaki ini, sila e-mail polis dan terima kasih untuk kerjasama anda,” menurut kenyataan itu.

Pengguna Facebook dengan pantas menulis di ruang komen dengan mendakwa lelaki terbabit menyerupai watak Schwimmer iaitu Ross.

Kecurian itu berlaku pada 20 September lalu.

Susulan itu polis memberi respon : “Terima kasih semua untuk maklum balas yang pantas.

“Kami sudah menyiasat perkara ini dengan teliti dan mengesahkan David Schwimmer berada di AS pada tarikh kejadian berlaku. Kami kesal kerana jadi begini”

Kisah itu akhirnya sampai ke pengetahuan Schwimmer yang kemudian memuat naik rakaman klip video parodi dirinya di kedai serbaneka di AS sambil membawa satu karton tin minuman.

Dia memuat naik video itu di akaun Twitter peribadi miliknya.

“Polis, saya bersumpah itu bukan saya. Seperti yang kamu dapat lihat, saya ketika ini berada di New York,” ciapnya.

Dia mengakhiri ciapannya dengan berkata: “Selamat berjaya dengan siasatan itu.”

Hasil semakan hingga malam tadi mendapati perkongsian Schwimmer itu mendapat 488,000 tanda suka dan diulang sebanyak 148,000 kali.