Selepas mendapat imuniti daripada pihak penaja Gegar Vaganza 5 (GV5), Zamani lebih banyak mendiamkan diri daripada berbicara mengenai perkara itu.

Pengurus, Aalan Ahmad malah berkata desas-desus menyatakan penyanyi itu ingin menarik diri daripada program realiti berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Aalan malah menegaskan tiada sebarang perbincangan mengenai isu menarik diri dibuat Zamani bersama produksi seperti didakwa sesetengah pihak.

“Selepas insiden malam tadi, Zamani memang tidak banyak cakap dan hanya mendiamkan diri. Tetapi, jika dia sendiri yang bersuara untuk menarik diri atas alasan kesihatan, saya tak boleh buat apa-apa.

“Itu terpulang kepadanya, tetapi ingin saya tegaskan di sini, Zamani masih lagi peserta program itu,” katanya seperti dipetik BH Online.

Malam tadi ketika GV5 bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bekas vokalis kumpulan Slam itu gagal menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta ekoran berdepan masalah kesihatan.

Detik hitam yang berlaku pada minggu kelima GV itu dipercayai akibat peti suara Zamani koyak.

Penaja utama GV5, Datuk Seri Aliff Syukri menyelamatkan Zamani daripada penyingkiran dengan menghadiahkannya imuniti.

Mengulas lanjut mengenai keadaannya yang menyanyi dalam keadaan tidak sihat, Aalan berkata pihaknya ada sebab kenapa membenarkan persembahan itu diteruskan.

Katanya, sebelum program bermula, Zamani memang sihat malah tiada tanda-tanda dia diserang demam atau batuk.

Namun, katanya pada jam 3 petang semalam, Zamani mengadu suaranya tidak keluar.

“Saya ingatkan tiada yang serius dan mendapatkan ubat dari farmasi berdekatan tetapi keadaan menjadi semakin teruk ketika program hampir bermula.

“Selepas berbincang dengan semua pihak, Zamani bersedia muncul di atas pentas untuk membuktikan dia sememangnya sakit.

“Kami tidak mahu apabila tiba-tiba dia tidak muncul, orang akan salah sangka dan menganggap dia mempunyai masalah disiplin,” katanya.

Sementara itu, Aalan memaklumkan Zamani ketika ini sedang berehat dan menerima rawatan di hospital.