Sebagai persiapan menjelang tahun baru yang tinggal beberapa bulan lagi, Yuna menyatakan dia sudah bersedia menjalin kerjasama dengan kumpulan K-Pop popular dari BTS.
Penyanyi berkenaan meluahkan hasrat untuk berkolaborasi dengan kumpulan yang kini sedang membina nama di AS itu di akaun Twitter miliknya.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk berkolaborasi dengan @BTS_Twt #2019,” ciapnya.
Yuna turut meminta pendapat berhubung gandingan itu daripada peminatnya.
“Apa pendapat anda? Sengaja meluahkan hasrat, tetapi saya sudah bersedia untuk segala-galanya di 2019! Mari lakukannya,” katanya lagi.
Setakat semakan hingga malam ini, ciapan Yuna itu mendapat lebih 12,000 tanda suka selain diulang tweet sebanyak 7,000 kali.
BTS atau Bangtan Boys yang pernah disenarai oleh Forbes sebagai kumpulan paling banyak diulang ciapan di Twitter pada Mac 2016 dianggotai Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook.
Selain pernah memenangi beberapa anugerah di negara sendiri, BTS juga pernah menjadi kumpulan Korea yang pertama mengungguli carta Social 50, Billboard.
Untuk rekod, BTS memiliki dua akaun Twitter yang diwujudkan atas tujuan berbeza iaitu satu yang diuruskan syarikat label BTS, Big Hit Entertaiment (@BTS_BigHit) manakala satu lagi dikendalikan anggota kumpulan, @BTS_twt.
Yuna, 31, dan akaun @BTS_twt saling mengikuti perkembangan masing-masing di media sosial.
Ciapan penyanyi Crush itu mengundang respons yang pelbagai daripada netizen dengan kebanyakannya menyatakan mereka tidak sabar dan teruja sekiranya impian itu menjadi kenyataan suatu hari nanti.
“Betul! Perkataan magis itu sudah dinyatakan secara umum dan sekarang kita tunggu,” kata pengguna akaun @BangtanPaenboi.
Bagaimanapun, wujud segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan minat yang diuar-uarkan Yuna terhadap kumpulan yang popular dengan lagu DNA itu.
“Tolong jangan, urghhh,” kata pengguna akaun @pffttHalijahhh.
