Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri mahu tahu perkembangan terkini isu Finas

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera memaklumkan perkembangan terkini siasatan mereka berhubung isu kehilangan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bernilai RM25 juta.

Menurut Menterinya, Gobind Singh Deo, gesaan itu dibuat kerana SPRM melakukan siasatan ke atas agensi terbabit sejak Jun lalu dan hingga kini ia masih berlangsung.

"Jadi kalau boleh saya minta SPRM percepatkan proses itu.

"SPRM juga harus menjelaskan perkara ini pada masa terdekat kerana ia membabitkan jumlah yang sangat besar," katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Menurut Gobind, skop siasatan dan tindakan SPRM ke atas Finas adalah berbeza daripada yang dibuat oleh pasukan khas lantikan kementeriannya.

"Apa yang disiasat SPRM itu berbeza. Itu terpulang kepada SPRM untuk ambil tindakan (terhadap Finas).

"Dan SPRM perlu buat kenyataan tentang skop siasatan mereka dan apa yang berlaku dalam siasatan tersebut," katanya.

Terdahulu, anggota parlimen Puchong itu berkata, KKMM bercadang untuk melantik akauntan dari syarikat bertauliah bagi menganggotai lembaga perbadanan baru Finas.

Menurutnya, langkah itu diambil supaya mereka boleh mengkaji dan melaporkan struktur kewangan baru untuk meningkatkan sistem kewangan dan akauntabiliti Finas.

Katanya ia diambil supaya tiada lagi ketirisan berlaku pada masa depan.

"Ahli-ahli dalam lembaga ini akan diumumkan pada minggu depan," katanya.

Lihat Komen
ADS