Filem pendek TNB sempena Deepavali papar ikatan kekeluargaan
Deepavali, sinonim dengan perayaan dikenali sebagai pesta cahaya, yang menyatukan hubungan kekeluargaan, ia juga memberi peluang kepada semua kaum dan agama untuk berkumpul dan meraikan hari yang penuh bermakna itu.
Sempena sambutan perayaan itu yang akan diraikan pada 6 Nov ini, seperti tahun-tahun sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi akan menayangkan sebuah filem pendek, mengenai ragam keluarga yang mesra dan hangat bertajuk Kerumbu Kudumdam.
Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam kenyataan hari ini berkata TV komersial itu meneruskan tema tahunan yang sama, mengetengahkan hubungan kekeluargaan, nilai penerimaan dan menghormati insan lain walaupun wujud perbezaan.
Filem pendek itu mengisahkan seorang suami bernama Ramesh yang meraikan sambutan Deepavali kali pertama di rumah keluarga isterinya – berdasarkan tradisi kebudayaan India, Thalai Deepavali.
“Secara tradisinya, perayaan itu termasuk memohon restu daripada anggota keluarga yang lebih tua. Ia juga adalah suatu kelaziman bagi keluarga pengantin wanita untuk memastikan pengantin lelaki dijaga dengan baik dan memberi mereka hadiah sebagai sebahagian daripada sambutan hangat kepada anggota keluarga baharu,” katanya dalam kenyataan itu.
"Kisah Ramesh adalah kisah kita semua, menunjukkan ikatan kekeluargaan yang kuat yang menjadi pegangan kita semua rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi semasa musim perayaan.
“Tema filem ini adalah bertepatan dengan suasana negara sekarang yang menerapkan semangat Malaysia Baru apabila seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhan melalui penyesuaian dan penerimaan, iaitu kita sama-sama bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga baharu,” kata Roslan.
Beliau berkata adalah menjadi pegangan TNB untuk terus menyinari kehidupan warga Malaysia dan menyatukan rakyat negara kita, dan atas dasar itu, syarikat tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan sahabat dan keluarga, masyarakat India pada tahun ini.
Kerumbu Kudumdam dijadualkan ditayangkan di semua rangkaian stesen TV percuma dan stesen berbayar ASTRO bermula 5 Nov. Filem ini boleh ditonton di YouTube.com/TENAGAofficial#Kerumbu Kudumdam#FamilyMischief.
- Bernama

