Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dekatkan diri dengan Allah, Marsha tunai umrah sekali lagi

Kali kedua bakal mengerjakan umrah, Marsha Milan Londoh mengaku masih tidak dapat menepis kebimbangan menjelang beberapa hari lagi dia bakal menjejakkan kaki ke Mekah.

Justeru, katanya, sebelum berangkat ke tanah suci, dia perlu membuat persediaan mental yang cukup rapi bagi memudahkannya berdepan pelbagai dugaan sepanjang melakukan ibadat.

Menurut Marsha, kali pertama dia menjejakkan kaki ke Mekah untuk melaksanakan amalan itu adalah sekitar November tahun lalu.

“Saya akan kerjakan umrah bersama suami dan keluarga. Tapi eee...memang takut! Sebab masa pertama kali pergi dulu memang saya tidak tahu banyak perkara,” katanya.

Marsha, 31 ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya Tujuh di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Berangkat ke Mekah ketika tayangan Tujuh 

Melalui kisah seram arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu, Marsha tampil sebagai Suri - wanita dari keturunan orang asli - yang menjadi punca tujuh sahabat dibunuh secara tragik.

Marsha dijangka berangkat ke tanah suci pada 8 November ini, tarikh sama Tujuh mula ditayangkan di pawagam tempatan seluruh negara.

Bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu berkata, timbul perasaan gusar kerana dia tidak tahu dugaan yang bakal ditempuh sepanjang mengerjakan amalannya nanti.

“Sesiapa pun pasti bimbang walaupun mereka sudah pergi banyak kali ke tanah suci, tapi Alhamdulillah kali kedua pergi lagi saya dah tahu sedikit-sebanyak apa nak buat,” katanya.

Sebagai seorang saudara Islam yang masih dibentuk akidahnya, Marsha berkata dia perlu berusaha untuk mengutamakan disiplin setibanya di tanah suci itu kelak.

“Perlu jaga adab dan tatatertib semasa kerjakan umrah, bukan apa cuma nak elak perkara tidak diingini daripada berlaku. Doakan umrah Marsha diterima dan dipermudahkan,” katanya.

Doa istimewa di depan Kaabah

Marsha yang memeluk Islam sebelum menikahi suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail berkata sememangnya ada doa istimewa akan dititipkan di depan Kaabah.

Katanya, antaranya adalah keinginannya untuk mendapatkan zuriat.

“Kalau boleh saya berharap dengan izin-Nya suatu hari nanti dikurniakan zuriat insya-Allah tetapi itu bukan tujuan utama saya ke tanah suci.

“Ini juga salah satu cara merapatkan diri dengan Allah dan saya bersyukur ada keluarga yang sentiasa menyokong melalui fasa hidup berbeza berbanding sebelum ini,” katanya

Lihat Komen
ADS