RM30 juta untuk insentif penerbitan filem
Kerajaan hari ini mengumumkan akan meneruskan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dengan peruntukan RM30 juta.
Dalam Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu bagi menggalakkan penghasilan filem di Malaysia yang bertaraf antarabangsa.
Sebagai tambahan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk FIMI yang khusus bagi penerbitan filem di studio Pinewood di Iskandar Johor.
Khazanah juga akan menerajui projek kerjasama awam swasta bagi program pemuliharaan dan pembugaran Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur untuk menjadikan bangunan ikonik itu sebagai pusat kesenian, kebudayaan dan warisan.
Projek penjanaan semula bandar ini akan diusahakan bersama dengan syarikat warisan tempatan, ThinkCity, dan sebuah pertubuhan antarabangsa yang diiktiraf dengan UNESCO.

