'Sekarang tak adil, iflix kena cukai, Netflix tidak'
Percukaian baru terhadap perkhidmatan atas talian yang diimport dilaksanakan memandangkan persaingan tidak seimbang antara syarikat antarabangsa dan tempatan, kata Johan Mahmood Merican.
"Sebagai contoh, penyedia perkhidmatan penstriman video Amerika Syarikat, Netflix, yang membawa kandungan dari luar negara tidak dikenakan cukai, sebaliknya syarikat tempatan, iflix, perlu membayar cukai... ini persaingan yang tidak adil,” katanya pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan itu.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2019, mengumumkan perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan.
Ia akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020.
Dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini, Johan bagaimanapun berkata percukaian baru itu akan dilaksanakan secara berperingkat, lapor Bernama.
Katanya, proses itu akan dilaksanakan bermula dengan segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) perkhidmatan atas talian yang diimport dan seterusnya kepada perkhidmatan atas talian yang diimport ke pengguna (B2C).
Terdahulu, Johan menghadiri taklimat khas Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan Belanjawan 2019 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dirasmikan Timbalan Menteri KKMM Eddin Syazlee Shith.

