Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noryn simpan masalah peribadi 'dalam kotak, balut cantik-cantik''

Sekalipun berdepan proses perceraian, Noryn Aziz enggan membiarkan masalah peribadi itu merosakkan masa depannya sebagai penyanyi.

Sebaliknya Noryn berkata, ketika ini tumpuannya ialah ingin mengukuhkan jenama dirinya dan kerjaya yang dibidaninya sejak 20 tahun lalu.

"Saya utamakan karier untuk masa depan dulu. Saya anggap kemelut rumah tangga sebagai pengalaman masa lampau,” katanya.

Noryn, 40, ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Soul Sisters di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur kelmarin.

Pemilik nama penuh Norazmahwati Abd Aziz itu berkata, konflik suami isteri yang ditempuhi tidak melemahkan sebaliknya menjadi 'senjata' ntuk membantu dirinya lebih kuat meneruskan kehidupan.

“Saya kena kuat. Letak masalah tu dalam kotak, balut cantik-cantik, letak riben dan letak di atas.

"Apabila diperlukan mahkamah baru buka balik,” katanya berkias.

Hanya tuhan tahu

Noryn bernikah dengan Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad pada 22 Jan 2010 dan pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia empat tahun.

Julai lalu, Raja Kamarul Bahrin memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Noryn di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, kedua-dua pasangan tersebut tidak hadir pada prosiding sebutan kali ketiga di hadapan Penolong Pendaftar Syarie Norhakimah Awang, pada 10 Okt lalu.

Norhakimah kemudian menetapkan 18 Disember depan untuk perbicaraan kes berkenaan.

Ditanya sama ada dia ingin kemelut itu segera berakhir, Noryn menjawab, dia kini pasrah sepenuhnya.

“Saya serahkan kepada Allah, Dia saja tahu bila perkara ini akan berakhir,” katanya yang enggan berkongsi lanjut kerana bimbang kenyataannya mengganggu proses perbicaraan.

Tiga penyanyi yang akan menjayakan persembahan Soul Sisters

Sementara itu, mengulas mengenai Soul Sisters - yang turut menggabungkan penyanyi Siti Sarah dan Misha Omar - Noryn berkata, dia teruja sebaik diberi peluang untuk menyemarakkan karier seninya yang dianggap akan berkubur.

“Lima tahun lepas, rasa macam karier bakal berkubur tetapi hari ini, impian menjadi nyata terutama apabila dapat tahu menyanyi dengan Misha dan Sarah, saya teruja.

“Saya jarang persembahkan lagu Melayu sebelum ini tapi bila dapat nyanyi, perasaan itu meresap dalam jiwa, terutama apabila dipraktikkan, sedapnya rasa itu.

"Ini bakat yang Allah bagi dan kena dihargai sebaik mungkin,” katanya.

Soul Sisters anjuran Edd Razhe Entertainment bakal bergema di pentas Istana Budaya pada 5 dan 6 April tahun depan.

Lihat Komen
ADS