Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pemergian pelakon Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, akibat kanser esofagus, hari ini, dirasai rakan seni.

Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan menyifatkan Allahyarham Zaibo sebagai seorang rakan yang amat istimewa dihatinya kerana sikap Allahyarham yang ceria selain pandai mengambil hati rakan dengan memasak.

"Saya mengenali Allahyarham lebih 30 tahun, beliau tiada rahsia dengan saya, walaupun jarang berjumpa tetapi kami tetap berhubung.

"Kali terakhir kami berhubung adalah kira-kira 10 hari lepas dengan Allahyarham memaklumkan beliau sedang melakukan rawatan alternatif," katanya yang ditemui di kediaman Allahyarham Zaibo di Rengit, Batu Pahat, hari ini.

Habsah berkata dia sememangnya dalam perjalanan menziarahi Allahyarham Zaibo dari Kuala Lumpur tengahari tadi bersama pelakon Rubiah Suparman, sebelum menerima berita pemergian Zaibo sejurus menghampiri Ayer Keroh, Melaka.

walaupun terkejut, katanya, beliau bersyukur pemergian Allahyarham Zaibo dalam keadaan tenang dan 'bersedia'.

Pelakon Singapura, Rudy Marican pula menyifatkan Allahyarham Zaibo sebagai seorang abang yang baik dan banyak mengajar tentang bidang lakonan sejak lebih 20 tahun mereka mengenali.

Rudy yang juga seorang peguam di republik itu berkata beliau sepatutnya menziarahi Allahyarham pada esok, namun, reda dengan pemergian Allahyarham hari ini.

"Ramai yang tidak tahu betapa kuatnya pengaruh abang (Zaibo) di Singapura sama ada peminat Melayu atau bukan Melayu," katanya yang turut menyifatkan pemergian Zaibo sebagai kehilangan seni yang sangat hebat.

Bagi pelakon Samsuri Shahrom, 72, pemergian Allahyarham disifatkan sebagai kehilangan rakan dan mereka bersama-sama pernah membintangi sebuah drama kira-kira empat tahun lepas, bersama pelakon Imuda.

Samsuri yang menetap di Pagoh dekat Muar berkata, beliau turut merancang menziarahi Allahyarham bersama pelakon yang juga Pengerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia Kismah Johar, esok.

"Saya akan tetap datang juga lagi esok bersama Kismah. Pemergian Allahyarham membuatkan saya kehilangan sahabat walaupun ramai yang sudah 'pergi'. Giliran kita tidak tahu lagi," katanya.

Zaibo meninggal dunia 1.30 tengah hari di kediamannya di Rengit, dan berita kematiannya disahkan oleh isteri Allahyarham, Siti Hawa Sawal, 52.

Allahyarham yang terkenal dengan sitkom Spanar Jaya selain membintangi filem Anna And The King akan dikebumikan selepas solat Isyak hari ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS