Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
DBP diseru biasakan diri penggunaan teknologi

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diseru untuk terus komited mendigitalkan karya-karya bahasa Melayu dalam menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengantarabangsakan bahasa itu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM Mohamad Azhan Md Amir berkata, KPM akan sentiasa menyalurkan bantuan kepada DBP dalam mendaulatkan Bahasa Melayu melalui penambahbaikan inisiatif teknologi dan pendigitalan karya-karya Bahasa Melayu.

"Cabaran DBP sekarang adalah bagaimana untuk mengadaptasi permintaan masyarakat yang menggunakan teknologi dalam pendidikan, jadi langkah mendigitalkan karya-karya sedia ada mampu untuk memenuhi permintaan semasa.

"DBP juga diseru untuk keluar daripada kebiasaan dengan membiasakan diri kepada penggunaan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, analisis data maya, simulasi dan penggunaan robotik dalam memelihara dan memulihara karya-karya warisan kita, di mana kerajaan melalui KPM akan sentiasa menjadi pendukung kepada usaha ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Inovasi DBP di Wisma DBP di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu diadakan bagi memberi anugerah penghargaan kepada warga kerja DBP dan mereka yang turut terlibat dalam menjalin kerjasama memartabatkan Bahasa Melayu dengan Dewan itu, serta turut menyaksikan DBP menerima sijil MS ISO 9001: 2015.

Majlis turut menyaksikan pentauliahan Munsyi Dewan Karyawan bagi luar dan dalam negara yang baharu kepada 41 penerima dan telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Turut menerima anugerah dalam majlis sama adalah Bernama News Channel melalui anugerah Citra Sahabat (kategori media elektronik) yang telah disampaikan kepada Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

- Bernama

Lihat Komen
ADS