Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Penulis kena bersangka baik, kata Zurinah Hassan

Dalam menghasilkan sebuah karya yang bermutu, seseorang penulis tidak perlu bergantung kepada mana-mana ahli politik mahupun kerajaan.

Sasterawan Negara, Dr Zurinah Hassan, berkata, tabiat positif seharusnya bermula dari dalam diri insan yang bergelar penulis itu sendiri.

“Apa pun perlu bergantung kepada diri sendiri jika nak hasilkan karya yang baik. Bukannya bergantung kepada orang lain.

“Kerana pada akhirnya kamu sendiri kena pandai hasilkan karya, cakap banyak dengan menghentam sana sini pun tak guna,” katanya kepada Malaysiakini.

Zurinah ditemui selepas berakhirnya forum Himpunan Penulis Malaysia (HPM) di Universiti Kebangsaan Malaysia, di Bangi, Selangor malam tadi.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik turut hadir pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 300 penulis itu bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan bidang sastera dan persuratan tanah air.

Zurinah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan penulis Faisal Tehrani yang menolak undangan untuk menjadi panel forum HPM.

Faisal juga bertindak memboikot forum berkenaan kerana mendakwa ia melibatkan segelintir individu yang gemar mengamalkan "budaya penjilat." 


Baca: Faisal Tehrani tolak undangan himpunan penulis


Tegas Zurinah, golongan penulis yang memperjuangkan sastera tanpa jemu harus memiliki hati yang bersih tanpa menyimpan prasangka.

“Tak semestinya kita datang perhimpunan sebab kita telah dibeli oleh sesiapa, mereka (kerajaan) tak bagi kita apa pun, misalnya datang sini dapat habuan.

“Kita kena bersangka baik,” katanya.

Beliau juga berpendapat, sudah menjadi tanggungjawab seorang penulis yang menghidupkan dan memperjuangkan sastera untuk terus membuat teguran kepada kerajaan sekiranya mempunyai keperluan itu.

“Kita akan tetap menghasilkan karya sama ada baik dengan menteri atau tak.

“Kita akan tetap kritik kerajaan baru apabila timbul rasa kurang senang sebab itu sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai penulis,” katanya.

Hindari sikap berpuak-puak

Terdahulu, Maszlee semasa ucapan pembukaannya pula berkata, sudah sampai masanya golongan penulis menghindari semangat berpuak-puak.

“Malam ini saya bangga kerana bukan golongan tertentu saja berada di sini, himpunan disertai daripada pelbagai lapisan penulis iaitu yang elit, kanan, ada kiri, tepi yang melawan dan keras.

“Kita tak mahu wujud kelompok, tetapi mahu bergerak bersama,” katanya.

Sementara itu, Sasterawan Negara Dr A Samad Said berkata, Faisal sememangnya berhak untuk membuat keputusan yang dirasakan terbaik dan menolak undangan bagi menghadiri forum tersebut.

“Saya fikir dia (Faisal) ada hak, tak nak datang tak apa, itu hak dia dengan penganjur.

“Tidak perlu tangani budaya bodek, kerana ia bergantung kepada diri sendiri. Kalau setuju datang, tak setuju tak perlu hadir.

“Budaya bodek ini sudah wujud sejak zaman Hang Tuah lagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS