Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis Evo 2 ajar tolak golongan sesat peralatkan agama, kata Rozaimi
Diterbitkan:  Nov 20, 2018 8:08 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Selepas seruan boikot terhadap Polis Evo 2, filem yang kini sedang ditayangkan itu terus mendapat perhatian golongan agama.

Kali ini giliran pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Rozaimi Ramle pula mengulasnya.

Baginya, filem yang sebelum ini didakwa memberi imej buruk kepada Islam itu sebenarnya mampu mengajar para penonton untuk menolak golongan yang memperalatkan imej agama untuk mendapatkan pengaruh.

"Tiada unsur yang boleh menjadikan penontonnya salah faham terhadap Islam sehingga menghukumnya sebagai agama pengganas.

“Sebaliknya watak berserban itu (karakter Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat) lebih kepada watak psiko yang menggunakan watak agama untuk memperdayakan pengikutnya. Bahkan di awal filem disebutkan bahawa ajarannya sesat," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya lagi, filem itu turut memberi imej baik terhadap penganut agama Islam, antaranya menerusi babak polis bersembahyang jemaah dan pegawai polis wanita yang menutup aurat, menerusi watak yang dilakonkan Erra Fazira.

Beliau berkata telah dijemput oleh penerbit untuk menonton filem itu.

Rozaimi

Sebelum ini, Polis Evo 2 mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk pemimpin politik PAS dan mufti Perlis.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor menyifatkan watak penjahat berserban yang dipaparkan dalam filem berkenaan boleh menjejaskan imej Islam.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga berkongsi kebimbangan selepas menonton trailer filem berkenaan, mendapati ia memberikan mesej yang "kurang baik" tentang imej umat Islam.

Bagaimanapun Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyifatkan filem itu tidak menghina Islam, sebaliknya menonjolkan fahaman fanatik sesat yang mengancam negara.

Bagaimanapun ia tetap mencadangkan filem seumpama ini mengambil khidmat konsultan syariah pada masa akan datang.

Rozaimi turut mencadangkan pengambilan konsultan itu selain penambahbaikan kepada trailer filem agar tidak menimbulkan salah faham.

Selepas kontroversi yang tercetus berkenaan Polis Evo 2, Kementerian Dalam Negeri 14 November lalu mengesahkan filem itu tidak berdepan apa-apa kekangan kerana tidak memberi imej buruk kepada Islam.

 

Lihat Komen
ADS