Malaysiakini
SENI & HIBURAN

AJK Pusat PAS ajak rakyat boikot 'filem sampah' Polis Evo 2

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Nov 2018, 11:10 tengahari

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Md Nor hari ini menggesa rakyat Malaysia memboikot filem Polis Evo 2 yang kini ditayangkan di pawagam.

Beliau mendakwa filem itu cuba memberi imej buruk kepada Islam dan tindakan boikot itu boleh memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat dalam filem itu.

"Apabila saya membaca sinopsis filem (Polis) Evo 2 yang diarahkan pengarah suam-suam kuku yang cuba memalitkan imej buruk pada umat Islam, maka saya mengajak rakyat memboikot filem sampah ini.

"Berikan pengajaran kepada penerbit, pengarah bahkan pelakon yang berada dalam industri seni negara ini, hargailah nikmat keamanan negara dan hormatilah perasaan umat Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Filem bergenre aksi komedi itu mengisahkan tindakan polis membanteras sekumpulan pengganas yang menduduki sebuah pulau terpencil, bersama beberapa ratus penduduk.

Konflik timbul apabila kumpulan itu - diketuai Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat - menjadikan penduduk pulau itu sebagai tebusan.

Menerusi trailer yang dimuat naik di Youtube, Hafsyam dilihat mengenakan serban dan memberikan ceramah berbentuk agama. Dia juga dipaparkan mendesak polis memulangkan seorang individu bernama "Imam Husyairi".

Mengulas lanjut, Riduan berkata memaparkan Islam sebagai agama pengganas bukanlah perkara baru di luar negara, tetapi beliau mempersoalkan mengapa filem tempatan juga perlu mengikut jejak langkah sama.

"Kini industri filem Malaysia juga terjebak dalam naratif jelik menyudutkan Islam sebagai pemicu keganasan.

"Dalam drama Melayu, watak antagonis bertudung labuh, berjubah dan meminta serban sejak dekad 1980-an melatari drama dan filem Melayu. Tajuk seperti Fenomena, Guru Yahya dan puluhan yang lain adalah memualkan intelek," katanya lagi.

Pengajaran dari Mesir

Beliau mengambil pengajaran sebuah filem Mesir bertajuk Irhabi yang memaparkan watak seorang imam sebagai pengganas yang akhirnya gagal di pawagam kerana diboikot orang ramai.

Filem tersebut diterbitkan pada 1994 menampilkan pelakon terkenal negara itu, Adel Imam.

"Watak antagonis ini disolek dengan lebam hitam pada dahinya...susuk seorang pengganas ini diwajahkan dengan berpakaian serban, berjubah dan antisosial."

Katanya, bantahan orang awam serta ancaman golongan radikal menyebabkan filem itu tidak mendapat sambutan.

"Selepas kegagalan filem propaganda itu, penerbit filem di Mesir lebih berhati-hati berkenaan sentuhan pada ajaran Islam dan watak berpakaian agama...penggiat filem (di negara itu) telah belajar sesuatu, menghormati Islam dan penganutnya.

"Ayuh buktikan, rakyat Malaysia. Tolak perlecehan kepada mana-mana agama. Diam kita akan membenarkan kebejatan mereka," katanya lagi.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.