Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
KDN: Polis Evo 2 tiada elemen cemar Islam
Diterbitkan:  Nov 14, 2018 1:41 PM
Dikemaskini: Nov 15, 2018 2:31 AM

Khabar melegakan buat penggemar filem aksi keluaran tempatan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan filem Polis Evo 2 tidak berdepan dengan mana-mana kekangan daripada kerajaan.

Justeru tayangannya boleh diteruskan mengikut jadual awal.

Dalam satu kenyataan KDN berkata Polis Evo 2 tidak mengandungi sebarang elemen yang boleh ditafsirkan sebagai memberi imej buruk terhadap Islam.

"Filem berbentuk fiksyen ini didapati tiada percanggahan dengan mana-mana peruntukan Garis Panduan Penapisan Filem KDN.

"Lembaga Penapis Filem (LPF) telah menonton tapis Polis Evo 2 dan memberi keputusan Lulus Bersih dengan klasifikasi P13 untuk tayangan pawagam," kata kenyataan tersebut.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas pemimpin PAS dan penyokong parti itu menyatakan rasa kurang senang dengan filem berkenaan yang dianggap memberi gambaran buruk terhadap Islam.

Kenyataan itu asalnya dikeluarkan anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor.


Baca Polis Evo 2: Memang ada pengganas bertopeng Islam


Untuk rekod Polis Evo 2 belum ditayangkan di mana-mana pawagam dan dakwaan Riduan itu dibuat berdasarkan kepada sinopsis filem berkenaan saja.

Ekoran itu pelbagai pihak memberi pandangan dengan kebanyakannya berpendapat tidak adil menilai filem tersebut sebelum ia ditonton.

Tambahan pula, kata mereka, ia sudah diluluskan LPF.

Kontroversi yang ditimbulkan PAS itu juga dianggap memberi promosi percuma terhadap filem berkenaan.

Menurut KDN, Polis Evo 2 berkisar mengenai dua pegawai polis yang mengintip pergerakan ketua sindiket pengedar dadah di sebuah pulau.

"Secara keseluruhan filem tersebut mengisahkan tentang usaha pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah dan menyelamatkan orang awam yang terlibat dalam insiden keganasan," katanya.

Lihat Komen
ADS