Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Black, Tomok berpadu suara gegar Dewan Filharmonik Petronas

Impian Black Hanifah untuk membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang tersimpan sejak mula menjadi penyanyi sepuluh tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan.

Baginya, dapat menyertai barisan sejumlah penyanyi terkemuka tanah air untuk membuat persembahan di pentas berprestij itu adalah satu tuah.

“Ibarat mimpi kerana sepuluh tahun lalu pernah terlintas nak buat persembahan di DFP. Alhamdulillah saya sampai juga ke tahap ini.

“Dapat buat persembahan pula dengan Tomok, seorang penyanyi terkenal,” katanya ketika sidang media pengumuman konsert Tomok vs Black in the Spotlight di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mereka berdua akan bersama-sama menggegarkan pentas DFP pada 28 November ini dengan iringan band yang mendapat sentuhan pengarah muzik Johan Shamsudin.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, menjanjikan persembahan istimewa dan luar biasa buat peminat pada persembahan itu yang dijangka berlangsung selama satu setengah jam.

“Memang berdebar tetapi saya berhasrat untuk menyampaikan setiap persembahan dengan mesej tersendiri.

“Peminat yang hadir pada malam itu akan dapat mengimbau sepuluh tahun perjalanan saya sebagai anak seni,” katanya.

Antara penyanyi yang pernah mengadakan persembahan di situ ialah Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Yuna.

Black bakal menyampaikan lagu-lagu popular antaranya Drama King, Mana Mungkin dan Teman Pengganti. Tomok pula dijangka menyampaikan lebih sepuluh lagu, antaranya Khilaf, Berlari dan Bekas Kekasih.

Sementara itu, Tomok yang juga pertama kali menjejak pentas DFP menyifatkan ia sebagai pemangkin semangat untuk terus berjuang sebagai insan seni.

"Diberi peluang mengadakan persembahan di situ saja sudah memadai, walaupun tanpa orkestra seperti penyanyi lain di pentas DFP sebelum ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS