Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Baim Wong selamat berkahwin dengan pilihan hati
Diterbitkan:  Nov 22, 2018 1:49 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Pelakon popular Indonesia Baim Wong selamat berkahwin dengan pilihan hatinya, Paula Verhoeven hari ini dalam satu majlis tertutup.

Majlis akad nikah berlangsung di sebuah dewan di Jakarta Selatan.

Sebelum pernikahan berlangsung, media yang berada di luar perkarangan lokasi mendengar alunan doa berkemundang.

Paula yang juga pelakon dan model kemudian meminta izin dan restu daripada kedua orang tuanya.

“Assalamualaikum, Papi, Mami, Paula minta restu untuk menikahi pilihan Paula, Muhammad Ibrahim.

“Semoga kami berdua boleh jadi keluarga sakinah mawaddah warahmah,” kata Paula dipetik Kompas.

 Suaranya terdengar parau dan teresak-esak.

Baim pun memulakan ijab kabul dengan memberi mas kahwin emas seberat 11 gram dan wang tunai.

"Saya terima nikah dan kahwinnya Paula Verhoeen dengan mas kahwin tersebut tunai,” ucap Baim dengan mantap.

Saksi menyatakan pernikahan kedua-dua mempelai sah.

Majlis dihiasi dengan dekorasi menggunakan tema serba putih yang penuh dengan adat Jawa.

Baim, 37, mengenakan pakaian pakaian adat lelaki dari daerah Surakarta manakala Paula dilihat begitu anggun dengan kebaya putih.

Baim, aktor yang pernah membintangi drama sinetron seperti Benci Bilang Cinta, telefilem Untuk Terakhir Kali gandingan bersama Elfira Loy dan Ketika Cinta Merintih.

Kedua-dua pasangan mengikat tali pertunangan pada Julai lalu di Semarang Indonesia.

Aktor itu juga sebelum ini pernah dikaitkan menjalin hubungan cinta dengan artis Malaysia Elfira Loy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS