Mulianya hati Amitabh Bachchan...
Pelakon veteran Bollywood, Amitabh Bachchan terkenal sebagai tokoh yang sering menghulurkan bantuan kepada insan yang lebih memerlukan.
Kali ini, Bachchan menyatakan hasrat beliau untuk mendermakan 50 buah mesin bagi mengelak maut yang perlu didepani pekerja kumbahan atau menghindarkan mereka daripada kesulitan semasa melaksanakan tugas.
Melalui blognya, Bachchan menjelaskan beberapa cabaran getir terpaksa dilalui pekerja kumbahan semasa membersihkan pembentung dalam keadaan paling tidak berperikemanusiaan selain mereka bekerja tanpa peralatan yang sesuai dari segi keselamatan.
“Saya akan membeli 50 mesin supaya pekerja ini tidak perlu memasuki lubang tetapi dapat membersihkan bahagian berkenaan dari luar dengan peralatan itu, ia juga sekaligus menghindarkan penghinaan yang dilempar masyarakat,” katanya.
Bachchan, 76, yang digelar sebagai Big B tampil menjelaskan situasi perlu dilalui pekerja kumbahan selepas beberapa kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, pencarian manual merujuk kepada amalan pembersihan, pembuangan, atau pengendalian secara manual ke atas sisa kotoran dibuang manusia dari tandas atau pembetung.
“Pekerja perlu masuk ke dalam pembetung bagi kerja-kerja pembersihan, ia satu situasi tidak berperikemanusiaan apabila mereka tidak menggunakan peralatan sesuai dari segi keselamatan.
“Ramai pekerja terkorban akibat sesak nafas (asphyxiation) dan gas yang membawa maut. Saya mendapat maklumat ini selepas melihat kerja-kerja pembersihan selama 15 jam baru-baru ini,” katanya.
Krisis membelenggu petani
Pelakon filem Thugs of Hindostan itu turut memperincikan jenis mesin yang akan dibelinya dalam masa terdekat.
“Mesin itu besar sedikit dan agak rumit untuk beroperasi, tetapi boleh melaksanakan tugas itu.
“Terdapat juga yang bersaiz lebih besar tetapi tidak boleh dibawa selain menggunakan trak.
“Saya akan tunaikan janji ini kepada perbadanan perbandaran dalam sehari dua lagi,” katanya.
Bachan dikenali sebagai seorang selebriti yang sering memberi tanda sokongan antaranya terhadap bencana alam di Nepal, Kerala dan pada Rabu lalu beliau menyelesaikan pinjaman petani berjumlah 40 juta rupee (RM2.34 juta).
Bachan berbuat demikian ketika krisis pertanian membelenggu golongan petani luar bandar negara itu, menyebabkan mereka terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi, upah tidak setimpal, harga bahan api dan kos baja yang tinggi hingga mencetuskan tunjuk perasaan.

