Pengasas produk kosmetik yang kini bergelar penyanyi, Aliff Syukri Kamarzaman mempertikaikan mengapa lagu terbaru dihasilkannya, Biar Apa Orang Kata terus menerima nasib kurang baik.
Menurut Aliff, dia sudah memberikan yang terbaik untuk lagu berkenaan namun lagu berkenaan tetap tidak digemari orang ramai berdasarkan respons yang terpapar di media sosial.
“Pelik, ramai yang dislike? Nak kata suara saya tak sedap, rasa vokal dah tahap tinggi, trending (sohor) nombor 1 di Malaysia,” katanya di Instagram.
Video muzik Biar Apa Orang Kata itu dicipta Edry Abdul Halim dan dimuat naik di saluran YouTube pada Ahad lalu.
Melalui semakan Malaysiakini setakat pagi ini, ia ditonton hampir 600, 000 kali namun mengumpul lebih 31,000 dislike.
Video muzik itu turut menampilkan beberapa selebriti seperti Wak Doyok, kumpulan Forteen, Arja Lee, Zoey Rahman, Liza Abdullah dan Ziela Jalil.
Daripada lebih setengah juga tontonan itu ia hanya menerima tidak sampai 20,000 like.
Tampil memberi penjelasan, Aliff berkata, lagu itu dibuat khas bagi membina semangat dan keyakinan individu yang berasa terdapat kekurangan dalam diri mereka.
“Saya buat lagu ni khusus kepada mereka yang rasa rendah diri sebab semua orang itu elok tak kira hitam, pendek, gemuk atau putih,” katanya.
Terdahulu, pada Januari lalu, video muzik Abang Nak Tegur nyanyian Aliff serta menampilkan seorang lagi ahli perniagaan Nur Sajat, juga menerima nasib sama apabila mencatat jumlah dislike yang banyak.
Susulan itu, Aliff menghasilkan sebuah lagi lagu sama tetapi menampilkan isterinya, Nur Shahida Mohd Rashid, Abang Nak Tegur 2.0 sebagai menggantikan Nur Sajat.
