Ozzy Osbourne tak peduli pengunduran Britain dari EU
Ketika begitu ramai yang berhujah penuh perasaan mengenai Brexit, sesetengah daripada mereka mengaku tidak mengikuti perkembangan topik itu seperti penyanyi Ozzy Osbourne.
Osbourne, 68, yang dikenali sebagai ikon heavy metal itu menjelaskan dia sebenarnya bingung apabila orang lain mula bertanyakan mengenai Britain yang akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
“Orang selalu bertanya mengenai perkara itu - adakah ia satu isu besar di situ? Apa akan jadi? Adakah rakyat akan mengundi untuk kekal atau meninggalkan?” katanya seperti dipetik The Independent.
Anak kelahiran Birmingham, England itu yang kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat mengaku tidak mengambil tahu hal ehwal semasa membabitkan negaranya yang menjadi sebahagian dari Britain dengan penuh minat.
“Saya tidak membaca suratkhabar dan tidak bercakap sangat mengenai politik sebab tidak tahu. Malah saya tidak faham apa itu Brexit,” katanya.
Selepas rundingan kira-kira 20 bulan, 27 pemimpin EU meluluskan perjanjian pemisahan Britain dari blok itu menerusi rundingan Perdana Menteri Britain, Theresa May pada Ahad lalu semasa menghadiri persidangan di Brussels.
Parlimen Britain bersedia untuk membuang undi pada awal Disember ini.
Dan Britain dijadual meninggalkan EU secara rasmi pada 29 Mac 2019.
Walaupun bekas vokalis kumpulan Black Sabbath itu tidak menyorokkan pengetahuannya mengenai Brexit, isteri Osbourne, Sharon pula menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi untuk kempen Leave.
“Saya balik ke England setiap empat hingga enam bulan dan ia sudah menjadi seperti Hong Kong - terlalu padat dan sesak.
“Begitu ramai manusia dalam sebuah negara yang kecil. Sebuah kelas mempunyai seramai 40 pelajar.
“Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan dalam tandas, sistem pendidikan dalam tandas. Justeru, saya berkata sepatutnya ambil berat mengenai rakyat dulu.
“Saya tidak membelakangkan mana-mana agama atau sesiapa, tetapi negara itu sudah sarat,” kata pengurus muzik dan hos televisyen itu dalam wawancara bersama Sunday Times pada 2016.
Dalam wawancara sama, Sharon turut memaklumkan dia tidak tahu apa perlu dilakukan sekiranya terpaksa membesarkan keluarga di UK dan tidak mampu membiayai sekolah persendirian.

