Habuan lima angka tak mampu pujuk Altimet
Altimet tetap tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk meninggalkan karier nyanyian walaupun menerima lamaran dengan janji bayaran lima angka bagi setiap persembahan.
Penyanyi rap itu berkata, walaupun rezeki datang mencurah-curah, dia sanggup melepaskan peluang untuk membuat persembahan bagi mengotakan janji dibuat sebelum ini sebaik usianya genap 40 tahun.
“Pada ambang tahun baru ada pihak memberi tawaran untuk buat persembahan dan memang kita tahu industri hiburan ini kalau bab bayaran memang sedap.
“Dapat lima tawaran yang rata-ratanya nak bagi lima angka, tetapi semuanya saya kata takkan buat sebab kena berpegang pada keputusan sebelum ni,” katanya.
Pemilik nama asal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad itu ditemui pada sidang media pelancaran album terakhir dihasilkannya berjudul O di Petaling Jaya hari ini.
Jelas Altimet, simbolik tajuk album O melambangkan bentuk bulat seumpama mewakili kitaran perjalanan seni Altimet yang sudah lengkap.

Album O mengandungi 13 buah lagu termasuk single Bersamamu yang menampilkan penerbit dan komposer Cuurley (gambar) itu boleh didapati di platform digital bermula 7 Disember manakala secara fizikal pada 21 Disember ini.
Penyanyi lagu popular Amboi, Mambang dan Kotarayaku itu menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada hari ini.
Tak buat persembahan di AJL33
Altimet sebelum ini pernah menjelaskan, dia hanya akan meninggalkan bidang nyanyian tetapi mungkin tidak akan akan berhenti daripada terus menulis dan menghasilkan lagu untuk penyanyi lain kerana itu adalah minatnya.
Namun, seandainya ada pihak masih terus berminat untuk mengubah keputusannya itu, Altimet berkata mereka hendaklah mencuba nasib terlebih dahulu dengan memujuk ibunya, Jamalah Agil Alsagoff.
“Kalau ada pihak nak saya menyanyi, mereka kena pujuk ibu saya, bukan saya,” katanya yang menegaskan keputusan mengundur diri sebagai rapper dibuat atas saranan ibunya.

Baru-baru ini juga lagu Bunga nyanyian Altimet diumumkan terpilih untuk berentap di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) bersama 11 lagu lain.
Bagaimanapun, Altimet - yang berjanji untuk berundur bagi memberi ruang kepada penyanyi lain - berkata dia tidak akan membuat persembahan pada acara itu yang dijangka berlangsung pada Feb depan.
Dia sebaliknya memberi bayangan ada artis berkumpulan dipilih sebagai pengganti dirinya pada malam itu nanti.
Altimet pada sidang media itu juga memberitahu bahawa dia bakal muncul dalam konsert istimewa sebagai hadiah buat peminat pada Feb depan yang tarikhnya akan diumumkan kemudian.
“Tiada lagi persembahan selepas album terakhir O kecuali sebuah konsert, ia dijangka menampilkan beberapa artis yang pernah berduet dengan saya,” katanya.

