Selepas muncul beraksi dalam lapan filem sepanjang tempoh lebih empat dekad Rocky Balboa yang lahir bersama susuk Sylvester Stallone kini sedia untuk 'bersara'.
Melalui klip video dikongsikan di Instagram, aktor itu - yang merujuk kepada penampilan terbarunya dalam Creed II - berkata sekarang watak itu sesuai untuk mengundurkan diri.
“Saya sebelum ini menyangka Rocky sudah tamat pada 2006 dan berasa amat gembira.
"Tetapi tiba-tiba muncul seorang pemuda dan keseluruhan jalan cerita kemudian berubah.
“Ia berterusan kepada generasi baru, masalah baru dan cabaran baru,” katanya.
Creed II adalah kesinambungan daripada kisah Rocky, seorang juara tinju yang sudah lanjut usia dan melatih protege baru, Michael B Jordan.
Creed II yang diarah Steven Caple Jr dan digarap oleh Juel Taylor dan Stallone. Ia menjengah pawagam AS pada 21 Nov lalu.
Ia harus berlalu
Stallone, 72, berkata tiada yang lebih menggembirakan dirinya selain mengikuti perjalanan Rocky yang bermula sejak 1976.
Ia membabadkan kehidupan seorang petinju yang pada awalnya dianggap lemah.
“Ketika saya berundur, ketika kisah saya diceritakan, ada dunia baru yang terbentang luas untuk penonton, untuk generasi ini. Dan tugas itu sekarang diserah kepada Jordan,” katanya.

Video berkenaan dirakam di kawasan pantai, berdekatan unggun api pada hari terakhir penggambaran Creed II.
Dalam status yang mengiringi video itu, Stallone berkata dia sedih kerana terpaksa melepaskan watak Rocky namun akur bahawa sudah sampai masanya untuk berbuat demikian.
“Menjadi satu keistimewaan apabila diberi peluang untuk mencipta dan membawa watak bermakna seperti ini.
“Walaupun ia amat mendukacitakan, semua perkara ini harus berlalu dan berakhir,” katanya.
Filem Rocky muncul pada 1976 dan menerima 10 pencalonan Oscar pada Anugerah Academy yang diadakan setahun kemudian.
Daripada 10 pencalonan itu filem berkenaan memenangi tiga anugerah iaitu filem terbaik, pengarah terbaik dan suntingan terbaik.
Selepas Rocky, filem itu berkembang kepada tujuh sekuel lain iaitu Rocky II (1979), Rocky III (1982), Rocky IV (1985), Rocky V (1990), Rocky Balboa (2006), Creed (2015) dan Creed II (2018).
Stallone juga pernah mendapat pencalonan sebanyak tiga kali untuk Oscar melalui peranan dimainkan dalam siri Rocky, bagaimanapun dia sering kecundang untuk memiliki anugerah berkenaan.
