Sebuah program TV terbitan Astro, Bangkit #perkesoprihatin akan disiarkan bagi memberi kesedaran kepada majikan dan pekerja terhadap fungsi serta kepentingan Perkeso.

Penerbit, Arisz Ab Rahman menjelaskan, Perkeso berfungsi menyediakan bantuan dari segi perubatan dan kewangan kepada pekerja yang kebolehan mereka dikurangkan akibat kemalangan atau penyakit.

Justeru, katanya, amat penting setiap majikan mencarum pekerja mereka dengan Perkeso.

“Jika berlaku musibah atau kemalangan, pekerja akan dilindungi Perkeso dan dapat kembali bekerja seperti biasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Arisz, rancangan itu akan memaparkan 13 kisah individu berbeza yang kehilangan pekerjaan dan tiada keyakinan tetapi dapat merasai semangat baru untuk kembali berkhidmat melalui bantuan Perkeso.

“Rancangan Bangkit #perkesoprihatin merupakan sebuah rancangan majalah yang berkonsep moden dan memberi inspirasi,” katanya.

Pelakon Nazrief Nazri yang ditampilkan sebagai hos akan bertemu 13 insan istimewa dan mendengar kisah kebangkitan mereka.

Bangkit #perkesoprihatin dijadual menemui penonton pada 21 Disember ini bermula jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Arisz berkata, program motivasi itu memaparkan hos melawat sebanyak 13 kediaman untuk bertemu keluarga mereka, menemubual majikan, pengurus kes dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohamed Azman Aziz Mohamed.

“Ia bagi memudahkan penonton memahami lebih dekat program Return to Work.

“Selain itu, lakon semula kejadian kemalangan yang menimpa 13 individu berkenaan turut dipaparkan bagi memberi lebih kefahaman atas apa yang akan apa berlaku kepada mereka.

“Hos juga akan melawat pusat rehablitasi yang disediakan oleh Perkeso,” katanya.