Luke Skywalker minta waspada keaslian lightsaber RM831k
Bintang Star Wars yang dikenali dengan wataknya sebagai Luke Skywalker, Mark Hamill memberi peringatan agar orang ramai berhati-hati dengan lelongan senjata Jedi, lightsaber di Hollywood.
Acara lelongan Profiles in History's Blockbuster Hollywood Treasures itu akan diadakan di Los Angeles bulan ini.
Laman sesawang acara itu menyenaraikan salah satu senjata Jedi yang digunakan dalam penggambaran Star Wars sebagai “Lightsaber tulen Luke Skywalker, Mark Hamill” yang dianggarkan mencecah nilai jualan AS$200,000 (RM831,300).
Bagaimanapun, Hamill memberi amaran dengan menciap di Twitter miliknya mengenai keaslian senjata itu.
“Berhati-hati. Saya tidak menggunakan satu lightsaber dalam filem-filem Star Wars tetapi terdapat banyak yang digunakan untuk diri saya dan pelakon pendua,” ciapnya.
Hamill, 67, juga mengiringi ciapan itu dengan tanda pagar #BuyerBeware.
Namun, pereka produksi yang pernah memenangi Anugerah Academy untuk filem original Star Wars, Roger Christian bertegas bahawa lightsaber berkenaan adalah tulen.
“Terdapat lima senjata tulen yang dibuat sendiri dan ini adalah salah satu daripadanya. Ia adalah asli dan saya mempunyai Oscar untuk membuktikan perkara itu,” katanya seperti dipetik BBC.
Christian juga mengulas mengenai lightsaber menggunakan bajet rendah. Katanya dia menggunakan pelbagai elemen untuk menghasilkan prop, ini sekaligus menjadikan setiap satu daripada senjata itu adalah unik.
“Saya menyatukan semua bahan - ia semua nampak berbeza,” katanya.
Sementara itu, sebuah kenyataan media turut dikeluarkan Profiles in History, ia menyenaraikan beberapa memorabilia Star Wars untuk dijual.
Selain daripada lightsaber, sepasang tangan kepunyaan robot C-3PO dan sebuah helmet juruterbang yang ditandatangani oleh barisan pelakon juga akan dilelong.
Lelongan dijangka berlangsung bermula 11 hingga 14 Disember ini di Beverly Hills.

