Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Festival Muzik Rakyat Johor tahun depan
Diterbitkan:  Dec 6, 2018 6:25 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan menganjurkan Festival Muzik Rakyat Johor, tahun depan, bagi memartabatkan seni dan budaya negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata menerusi festival itu beberapa pertandingan berkaitan akan dianjurkan antaranya pertandingan ghazal, muzik keroncong, lagu asli dan gendang membabitkan gendang Melayu (kompang), gendang Cina dan gendang India.

“Program (Festival Muzik Rakyat Johor) ini diharap dapat membuka peluang serta tarikan kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta memeriahkan festival ini. Program ini merupakan kesinambungan daripada Festival Tari Rakyat Johor 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan ucapan Belanjawan Johor 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Iskandar Puteri hari ini.

Mohd Khuzzan berkata penganjuran Festival Muzik Rakyat Johor diharap dapat memberi impak besar dalam menghimpunkan seluruh penggiat seni muzik di negeri ini selain memberi peluang kepada penggiat seni muzik menonjolkan bakat masing-masing.

Dalam pada itu, Mohd Khuzzan berkata kerajaan negeri menerusi Institusi Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (Ikhlas) merancang menganjurkan beberapa program bersama orang muda dan golongan orang kurang upaya (OKU), tahun depan.

Menurutnya, antara program yang dirancang adalah Jelajah Anak Muda Johor, Town Hall Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan bersama golongan OKU serta kursus kepimpinan anak muda Johor bagi setiap daerah di negeri ini.

“Selain Ikhlas, Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor (Joydec) turut memainkan peranan dalam pembangunan belia di negeri ini dan merancang menganjurkan program wall climbing di setiap daerah, pendakian gunung dan bersama usahawan baharu yang berdaftar dengan Joydec, tahun depan.

“Pada tahun ini, Joydec melaksanakan beberapa program dalam kalangan belia di negeri ini antaranya pendakian ke Gunung Tahan dan Johor Motocross,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS