Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Hael Husaini lari selamatkan diri dari rusuhan di Paris
Diterbitkan:  Dec 10, 2018 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Penyanyi popular Hael Husaini mengalami detik-detik mencemaskan ketika bercuti di Paris apabila terperangkap dalam kejadian rusuhan selama sejam pada Sabtu lalu.

Pengurus Hael, Taufik yang juga bersama-samanya ketika itu berkata, mereka terpaksa menyelamatkan diri apabila perusuh bertindak di luar kawalan hingga polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

“Kami baru sahaja sampai dari Switzerland dan menuju ke kediaman kami. Dalam perjalanan itu banyak jalan ditutup polis, jadi kami terpaksa berjalan kaki 700 meter untuk ke rumah.

“Kawasan itu ditutup dan dijaga polis dengan kereta perisai. Kemudian bunyi tembakan bertalu-talu dan nampak orang bertempiaran lari ke arah kami.

“Rupa-rupanya gas pemedih mata dilepaskan, kami terpaksa lari menyelamatkan diri kira-kira sejam,” katanya seperti dipetik Mstar Online.

Meskipun berdepan ancaman keselamatan Taufik bersyukur dia dan Hael tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, tuah masih menyebelahi mereka apabila beberapa rakyat tempatan datang menghulurkan bantuan selepas menyedari mereka sebenarnya pelancong.

“Walaupun mereka sedang protes secara ekstrim tapi bila sedar kami datang untuk melancong mereka tolong dan bawa kami ke tempat selamat,” katanya.

Tambah Taufik, situasi tegang kembali reda dan perusuh bersurai sejam selepas itu, bagaimanapun polis menasihatkan agar dia dan penyanyi Haram itu tidak pergi ke mana-mana.

“Kami dibenarkan naik ke rumah. Jadi semalaman ni kami duduk kat rumah saja. Terpaksa makan apa yang ada,” katanya.

Tunjuk perasaan mula tercetus 17 November lalu ekoran bantahan ke atas kenaikan kos sara hidup akibat peningkatan cukai minyak oleh Presiden Emmanuel Macron.

Pemberontakan akhirnya merebak menjadi pergerakan besar-besaran menentang dasar diperkenalkan Macron kerana mendakwa pemimpin itu hanya mengutamakan golongan kaya.

Pada 8 Dis lalu, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menangkap ratusan penunjuk perasaan di ibu kota Perancis selepas bandar raya itu dikepung bagi bantahan baru "ves kuning" menentang Macron.

Lihat Komen
ADS