Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tetap kental bersama Pakatan Harapan (PH). Itu penegasan dibuat penyanyi terkenal Aishah hari ini selepas tular khabar kononnya dia kini membuat pusingan U.

Menurut penyanyi Tiada Duka itu, dia masih menjadi penyokong PH, tambahan pula parti yang dianggotainya - Amanah - sebahagain daripada kerajaan.

Katanya ketika sukar sebagai pembangkang dulu pun dia tekal bersama Amanah, tidak ada sebab untuknya mengubah pendirian pada waktu ini.

“Dulu semasa zaman BN jadi kerajaan, saya sokong pembangkang sampai disenarai hitam tak boleh keluar televisyen, tak boleh dijemput untuk acara kerajaan.

“Logikkah apabila PH dah menang saya nak berubah pula?" katanya kepada Malaysiakini.

Aishah berkata demikian sebagai mengulas imej yang tular sejak awal bulan ini, mendakwa dia kononnya meminta rakyat negara ini memaafkannya kerana berkempen untuk mengundi PH.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, Aishah memohon maaf kerana menghasut rakyat supaya memilih Pakatan Harapan. Sesungguhnya Pakatan Harapan sebuah parti munafik,” menurut kenyataan yang disahkan palsu itu.

Hadir di makan malam

Kata Aishah, golongan gemar membuat pusingan U biasanya terdiri daripada individu yang menyedari mereka tidak lagi boleh mencari makan dalam parti yang disokong.

“Orang tu dah tak ada kerja agaknya sampai sanggup buat benda ni," katanya.

Aisyah yang turut terkenal dengan lagu Selanjur Bercinta itu menjelaskan selepas pilihan raya umum (PRU) lalu memang ramai artis membuat pusingan U.

Jika dulu, katanya, mereka menjadi penyokong tegar BN dan memaki-hamun PH, kini keadaan bertukar menjadi sebaliknya.

“Orang inilah yang tiba-tiba menjadi penyokong kuat PH selepas BN kalah,” katanya.

Untuk rekod, Aishah sebelum ini pernah menyertai Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional tetapi mengumumkan untuk mengundur diri bagi memberi fokus kepada karier nyanyian. 

Pun begitu, Aishah masih aktif memberi sokongan kepada Amanah dan PH walaupun tidak memegang jawatan dalam parti.

Membuktikan pendiriannya itu, semalam Aishah muncul di Putrajaya bagi membuat persembahan pada Majlis Makan Malam Amal PH.

Aishah juga memuat naik dua imej memaparkan dirinya memakai baju berwarna hitam pada majlis tersebut sebagai mengesahkan kehadirannya. 

“Semalam saya menyanyi dua lagu iaitu tema Wanita Pakatan Harapan dan Bahtera Merdeka,” katanya.

Lihat Komen
ADS