Niatnya menujukan lagu penaik semangat Harimau Malaya, tapi yang datang bertandang ialah komen-komen lucah.

Itulah yang dialami penyanyi berimej seksi, Zizi Kirana, selepas dia memuat naik lagu Siapa Yang Bab Bab, untuk menyatakan rangsangannya terhadap skuad bola sepak negara.

Ia dimuat naik semalam, sebelum Harimau Malaya turun padang menghadapi cabaran pasukan Vietnam dalam saingan akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki.

Puncanya, Zizi muncul dalam klip video itu dengan pakaian sendat berwarna kuning, dihiasi jaket hitam sambil menyanyi dengan gaya tersendiri.

Julukan seperti “mantap,” “***** padu,” “alamak nampak macam sarat dada tu,” antara reaksi diberikan pengguna Instagram selepas menonton video dimuat naik Zizi - atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil - itu.

Lagu Siapa Yang Bab Bab itu dicipta DJ Fuzz bersama Musikwa, manakala lirik oleh Waris dan Aziquebeats. Asalnya ia ditujukan kepada golongan yang tidak senang dengan dirinya, selain pengguna media sosial yang berselindung di sebalik akaun palsu.

Sempena menyatakan sokongannya kepada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu, Zizi yang juga bekas anggota kumpulan The Fabulous Cat itu mengubah lirik asal lagu berkenaan.

Rezeki kian murah

“Siapa yang Hebat? Malaysia. Siapa yang Juara? Malaysia. Good luck Harimau Malayaku. Jersi tak de, tak pe janji hitam kuning dan kita sokong,” katanya pada perkongsian lain sebelum itu.

Untuk rekod, Malaysia bakal bertemu Vietnam sekali lagi di Hanoi 15 Dis ini.

Perlawanan malam tadi terikat 2-2 namun Harimau Malaya berdepan tugas berat kerana Vietnam kini memiliki kelebihan gol di tempat lawan.

Siapa Yang Bab Bab - meraih tontonan lebih 500,000 di YouTube sejak dilancarkan Oktober lalu - turut mendapat perhatian Harimau Malaya apabila menjadikan ia parodi.

Sementara itu, dipetik BH Online, Zizi, 33, berkata, imej seksi yang sering dimuat naik di media sosial turut menimbulkan keresahan pada pihak penganjur yang berkenan mengundangnya bagi memeriahkan sesebuah majlis.

Namun, kata penyanyi yang juga popular dengan lagu Nak Ke Tak Nak dan Boleh Jalan itu, penganjur yang bimbang dengan penampilannya biasanya akan memberi peringatan supaya berpakaian sopan sebelum tampil ke acara mereka.

“Tidak mungkin saya bergaya keterlaluan ketika membuat persembahan kerana saya berpakaian mengikut kesesuaian acara.

"Saya akui, kebelakangan ini, rezeki saya semakin murah. Tetapi, setiap kali menerima tawaran, pasti saya dinasihatkan supaya tidak berpakaian seksi,” katanya.