Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ummi Nazeera memang suka tengok bola, nafi guna 'kabel'
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 6:38 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Ummi Nazeera meluahkan kekesalannya ke atas sesetengah netizen yang mendakwa dia menggunakan ‘kabel’ untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki malam tadi.

Pelakon itu yang menafikan perkara tersebut berkata, dia difitnah mendapatkan khidmat seseorang bergelar YB bagi mendapatkan tiket tersebut.

“Ingatkan nak balik dengan hati yang bersyukur dan gembira. Tapi lepas apa yang Ummi saksikan semalam hati jadi semakin hiba.

“Sejak stage grouping (peringkat kumpulan) lagi Ummi dan kawan kawan sudah pergi ke stadium support Harimau Malaya. Sejak itu ramai yang fitnah kami ditaja oleh YB,” katanya di Instagram hari ini.

Pemilik nama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin itu juga berkata dia tidak menggunakan sebarang saluran istimewa untuk mendapatkan tiket.

Malah katanya dia sedia menunjukkan bukti bagi mengesahkan kenyataannya itu.

“Setiap sen yg digunakan adalah daripada titik peluh kami. Alhamdulillah. Tak ada kabel atau kroni terbabit. Saya ada bukti,” katanya.

Bukan bangsa final

Bagaimanapun, pelakon filem Bisik Pada Langit itu tidak mendedahkan siapa individu ahli politik (YB) yang dimaksudkan.

Ummi berkata dia membeli tiket berkenaan menerusi kaedah dalam talian.

Ummi yang juga popular dengan filem Hikayat Merong Mahawangsa dan Hantu Kak Limah Balik Rumah juga menyatakan kekecewaannya apabila dia dituduh sebagai “bangsa final.”

“Ramai yang tulis bangsa final di Instagram Ummi dan kawan kawan Ummi,” katanya.

Jika tidak percaya kata Ummi, dia meminta orang yang mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa itu untuk menyemak imej-imej yang dikongsikannya sebelum ini.

“Tengok post kami sebelum ni. Dan kalau betul pun ada yang datang untuk final saja,” katanya.

Bangsa final merujuk kepada gelaran diberikan kepada peminat bola yang hanya ke stadium untuk menonton aksi Harimau Malaya selepas skuad itu berjaya ke peringkat akhir.

Kata Ummi, 28, tiada salahnya jika seseorang itu cuma menyaksikan sesuatu perlawanan hanya pada bahagian akhir.

Ummi turut menyentuh sikap segelintir penyokong skuad Harimau Malaya yang berfikiran negatif dan tidak bertanggungjawab ketika di stadium.

Antaranya kata Ummi dia melihat mereka membaling objek dan merokok serta menghisap vape tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Ummi berkata dia melihat dua kali penyokong Malaysia membaling barang ke arah padang apabila emosi.

“Sangat sedih dan malu dengan tindakan rakyat Malaysia yang tak bertanggungjawab.

“Kalau lah terkena kepala budak, ibu mengandung atau mencederakan sesiapa. Kau tak terfikir ke?

“Ada juga yg merokok satu baris dengan ibu mengandung. Ada juga yang vape. Ada juga yang duduk di tangga tu langsung tak nak bangun bagi jalan," katanya.

Lihat Komen
ADS