Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Demi memuaskan hati melihat fenomena northern lights atau aurora borealis sambil bermain salji di Norway, Nabila Huda berkata jika diikutkan rasa hati, dia memang sanggup ‘papa’.

Menceritakan kisah berkenaan, pelakon terbabit berkata pada asalnya dia berada di Troms selama tiga hari dua malam.

Namun katanya tiba-tiba terdetik di hati untuk melanjutkan tempoh percutian di situ.

Katanya, biarlah dia membelanjakan wang yang lebih banyak asalkan dapat berada lebih lama di negara berkenaan.

“Kalau balik Malaysia nanti tak ada duit pun tak apa,” katanya berseloroh.

Bagaimanapun kata Nabila, selepas mendengar nasihat suaminya, Mohd Izwan Johar - yang turut bersama-samanya ketika itu - dia akhirnya memendamkan saja impian tersebut.

Katanya Mohd Izwan mengingatkan dia supaya tidak membazir kerana kos yang diperlukan untuk menyambung sehari lagi penginapan di Norway itu boleh mencecah belasan ribu ringgit.

Bukan masa sesuai

“Suami kata, sayang kena fikir anak nak sekolah, nak kena sambung kos untuk dua orang dan bila dikira-kira, jumlah semua hampir cecah RM15,000. Itu pun ada hati nak sambung hari lagi,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya M4M4 di Kuala Lumpur semalam.

Nabila, 34, mengaku hajatnya untuk berkunjung ke Norway memang disimpan sejak dia masih di bangku sekolah.

Justeru, katanya, sudah alang-alang berada di situ dia teringin untuk menginap lebih lama.

“Memang Norway dalam bucket list. Dulu masa sekolah menengah nak pergi tapi tak berkemampuan,” katanya.

Pelakon filem Munafik itu berkata, walaupun pernah ke luar negara beberapa kali dia tidak pernah berpeluang menyentuh salji, apa lagi melihat aurora borealis.

Northern lights tu memang bergantung pada nasib, malah kunjungan kami ke sana sepatutnya bukan waktu yang sesuai sebab ada salji.

“Tapi tiba-tiba semasa makan malam, ia muncul atas khemah.

Saya rasa seronok sangat sampai nak nangis,” katanya.

Lihat Komen
ADS