Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Seni tak buat Syafiq lupa diri, tanggungjawab ahli bomba

Sejak menyertai pertandingan Big Stage, tawaran untuk nyanyian dan lakonan kerap menyapa penyanyi Syafiq Farhain.

Meskipun tawaran yang hadir tidak pernah putus, Syafiq yang terlebih dahulu bergelar anggota bomba dan penyelamat setakat ini tidak lupa untuk terus menjaga imejnya sebagai penjawat awam.

Bagi anak allahyarham Saleem itu, dia tahu, sebagai seorang penghibur dan anggota bomba dia harus bijak mengimbangi kedua-dua bidang jika mahu terus berada di alam populariti.

“Orang kenal saya terlebih dahulu sebagai anggota bomba justeru kena jaga perangai,” katanya.

Pemilik nama penuh Nursyafiq Farhain A M Salim itu ditemui pada majlis Pencarian Gadis Panca Mybeauty 2018 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Syafiq, 24, seseorang penjawat awam harus menjaga tingkah laku bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib.

“Kami dilatih agar berdisiplin,” katanya.

Big Stage ialah pertandingan yang membuka peluang buat bakat-bakat baru dalam bidang seni suara tetapi tidak berpeluang untuk ke peringkat lebih tinggi.

Melalui Big Stage, Syafiq terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas dia ditewaskan penyanyi Sarah Suhairi yang diangkat sebagai Juara.

Meskipun sekadar menjadi naib juara, kata Syafiq, penyertaannya dalam program realiti itu membuka mata banyak pihak terhadap bakatnya.

“Nama Syafiq Farhain lebih dikenali dan tawaran seperti nyanyian dan berlakon banyak saya dapat.

“Terbaru peminat boleh menyaksikan lakonan saya buat pertama kali dalam filem Hero The Movie sebuah filem yang mengangkat kerjaya pasukan bomba,” katanya mengenai filem yang turut dijayakan pelakon Hisyam Hamid itu.

Lihat Komen
ADS