Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Eyra menangis, menyorok dalam tandas enggan pakai seksi

Pelakon Eyra Hazali mendedahkan dia pernah menyembunyikan diri sambil menangis hampir sejam dalam tandas kerana enggan berpakaian seksi bagi memenuhi tuntutan kerjanya.

Kata Eyra, kejadian itu berlaku sewaktu dia menjalani penggambaran sebuah drama.

“Saya menangis kerana diminta memakai gaun satu tali,” kata pemilik nama penuh Hazirah Qasdina Hazali itu kepada Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, mujur ketika kejadian dia baru berusia 12 tahun dan hadir ke lokasi penggambaran sambil ditemani ibunya.

“Ibulah yang menenangkan perasaan dan memujuk saya untuk keluar dari tandas,” katanya.

Aktres drama popular Mr Grey itu menegaskan mana-mana pelakon sememangnya berhak untuk menyatakan pendirian masing-masing.

Eyra, 19, berkata, perkara itu perlu ditekankan terutama apabila ia melibatkan keselesaan peribadi, dan pelakon terbabit enggan mengenakan pakaian yang dianggap di luar batasan.

Beri lebih 100 peratus

“Pelakon perlu mengetahui skrip dan memahami karakter yang perlu dibawa sebelum menjalani penggambaran bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.

“Saya hanya berusia 12 tahun pada ketika itu, belum tahu akibatnya jika tak minta skrip daripada pengarah terlebih dahulu dan terus bersetuju untuk jayakan lakonan,” katanya.

Untuk rekod, pelakon itu pernah diminta berpakaian seksi sekali lagi bagi menjalani sebuah sesi penggambaran namun menegaskan tidak sesekali akan mengulangi kesilapan itu lagi.

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2010 melalui telefilem Anak-Anak Lorong itu juga berkata dia seorang yang ‘cerewet’ berhubung satu-satu babak yang perlu dilakonkan.

“Seboleh-bolehnya akan mengelak daripada melakonkan babak dirogol atau menari di kelab malam bagi mengelak fitnah kerana bapa tidak benarkan,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Eyra bakal muncul dalam filem suspen - thriller M4M4 yang turut dibintangi antaranya Nabila Huda, Faizal Hussein dan Bella Dowana.

Mengulas mengenai lakonannya bersama Nabila - dalam buah tangan terbaru pengarah Eyra Rahman - Eyra berkata, dia memandang tinggi bakat dimiliki dan pencapaian diraih pelakon itu.

Justeru katanya, dia memberikan lebih daripada 100 peratus usahanya dalam menjayakan babak bersama Nabila.

“Memang saya bimbang untuk melakonkan babak dengan dia kerana bukan senang terutama apabila perlu mewujudkan emosi.

“Apa pun saya berharap setiap lakonan saya dalam M4M4 mendapat penilaian yang baik daripada penonton dan penggemar filem bercorak suspen - thriller,” katanya.

Lihat Komen
ADS