Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Dengan RM10j Siti jelajah 4 negara hiburkan peminat setia

Siti Nurhaliza Taruddin bakal muncul dalam konsert jelajah di empat buah negara dengan peruntukan paling mahal dalam sejarah karier seninya sebagai penghibur.

Penganjur Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, berkata pihaknya meletak sepenuh kepercayaan kepada Siti Nurhaliza, justeru tidak keberatan memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta bagi menjayakan siri jelajah tersebut.

“Ini adalah risiko yang sudah dipertimbangkan dan kerana dia ialah seorang Siti Nurhaliza.

“Belum pernah lagi digunakan peruntukan sebanyak itu untuk mengadakan konsert dengan mana-mana artis lain, tetapi kami yakin boleh mendapat pulangan yang sewajarnya melalui Siti Nurhaliza,” katanya.

Shirazdeen ditemui pada majlis pengumuman konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Kuala Lumpur petang tadi.

Penyanyi Anta Permana itu dijangka menjelajah ke Istora Senayan di Jakarta pada 21 Feb tahun depan, diikuti Singapore Expore, Singapura pada 2 Mac.

Bagi peminat di Malaysia mereka boleh menyaksikan konsert itu di Arena Axiata di Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.

Terujanya lain dari biasa

Lebih menarik, Siti juga dijangka beraksi di pentas berprestij, Royal Albert Hall di London pada 22 April tahun selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2005.

Selain merangkumi persembahan di empat negara, Shirazdeen berkata, peruntukan RM10 juta itu juga termasuk kos bagi pembuatan filem dokumentari They Call Me Siti.

Melalui dokumentari itu kata Shirazdeen penonton akan dibawa menelusuri perjalanan dari sisi belakang tabir konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour.

Penyanyi Tulus pula diundang sebagai artis jemputan untuk memeriahkan konsert jelajah berkenaan, dan akan menyerikan pembukaan konsert.

Tidak ketinggalan penonton dijangka dapat menyaksikan persembahan duet Siti Nurhaliza bersama artis dari Indonesia itu.

Sementara itu, Siti Nurhaliza, 39, berkata dia begitu bersemangat untuk menjayakan siri jelajah tersebut kerana ia adalah kemunculan pertamanya selepas berehat lebih setahun.

Penyanyi dari Lipis, Pahang itu sebelum ini berehat selepas bergelar ibu kepada Siti Aafiyah Khalid Jiwa.

“Kalau buat Konsert - jika dibandingkan dengan persembahan biasa - adrenalinnya akan berbeza.

“Justeru semangat saya membara semula nak menyanyi kerana nak buat persembahan konsert jelajah terbesar,” katanya mengenai konsert yang akan dikemudi oleh konduktor dan penggubah lagu Aubrey Suwito itu.

Siti Nurhaliza berkata, dia menjanjikan sebuah persembahan yang berbeza daripada lebih 50 konsert yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Untuk setiap konsert saya memang akan berusaha memberikan kelainan kerana sudah jadi tanggungjawab saya untuk membuat peminat pulang dengan rasa terhibur dan berpuas hati,” katanya.

Tiket akan mula dijual mulai 26 Dis ini di www.mytickets.asia

Lihat Komen
ADS