Band Indonesia Nidji kelihatan berazam untuk bangkit dari 'melahu' dengan tampil bersama vokalis baru tahun depan.
Kesungguhan itu ditunjukkan selepas mereka menyepi dari radar hiburan kira-kira setahun.
Demi terus berkarya di platform muzik Indonesia, Nidji - yang tidak lagi menggunakan khidmat Giring Ganesha sebagai vokalis - akan meneruskan pencarian penyanyi baru melalui uji bakat dianjurkan syakat rakaman Musica Studios.
Menurut wakil Musica Studios, Adrian, proses saringan akan dijalankan di sembilan bandar seperti Medan, Palembang, Jakarta, Bandung, Jogjakarta dan Surabaya.
“Selepas peserta mendaftarkan diri, mereka perlu merakam, menyanyi lagu Nidji dan kemudian memuat naik nyanyian itu ke Instagram,” katanya seperti dipetik Tribunnews.
Kumpulan yang berasal dari Jakarta itu sudah lama tidak beraksi di depan peminat ekoran keputusan Giring - yang juga pelakon - ingin memberi fokus dalam arena politik.
Selama setahun itu juga, anggota Nidji yang lain dilihat semakin dekat dengan Nidji Electronic Version (NEV) Plus.
Perkenal penyanyi baru
NEV PLus ditubuhkan bertujuan memberi ruang kepada anggota Nidji untuk bermain muzik tanpa kehadiran Giring.
Ia dibarisi oleh Ramadhista Akbar sebagai pemain gitar, Andi Ariel Harsya (gitar), Randy Danistha (turntable), Andro Regantoro (bass) dan Adri Prakarsa (dram) selain vokalis yang bertukar-tukar.
Nidji ditubuhkan pada 2002 dan popular melalui lagu-lagu seperti Laskar Pelangi, Hapus Aku, Hancur Aku dan Selalu Menjagamu.

Menurut Adrian, pencarian bakat itu diadakan kerana terdapat banyak bakat yang cuba menjadi Giring.
“Kerana di luar sana banyak yang bermimpi untuk menjadi vokalis Nidji. Sama seperti Giring yang bermimpi untuk bermain politik.
“Justeru, kami melakukan uji bakat untuk sang vokalis,” katanya.
Daripada semua proses saringan, hanya 12 finalis akan dipilih dan diberi peluang menyampaikan persembahan bersama Nidji di Bandung dan Surabaya.
“Selepas dikumpulkan 12 finalis, kami akan mengadaka dua konsert yang akan berakhir pada 8 Feb tahun depan di Love Festival Jakarta.
“Saat Love Festival berlangsung, Nidji sudah boleh memperkenalkan vokalis baru mereka,” kata Adrian.
Katanya, Love Festival juga bakal menjadi pentas akhir Giring membuat persembahan.
“Kehadiran Giring Ganesha di Love Festival diibaratkan sebagai satu persembahan hello dan good bye daripadanya sebagai anggota Nidji,” katanya.
