Demi hormat ustazah janda Opick henti curhat luka
Baru-baru ini, penyanyi lagu ketuhanan Indonesia, Opick, mengumumkan di media sosial, dia sudah berkahwin dengan Bebi Silvana.
Namun, di saat Opick, 44, berbahagia itu bekas isteri pertamanya, Dian Rositaningrum, dilihat seperti mencemburui pasangan yang baru mendirikan rumah tangga itu.
Dian mencurahkan perasaaannya yang terbuku di Instagram, justeru dia bercerita mengenai urusan rumah tangganya yang terpaksa berakhir dengan perceraian dek kerana amalan poligami.
Bagaimanapun, keluh-kesah tersebut tidak disenangi guru agama Dian yang kemudian memberi teguran kepada ibu beranak lima itu.
“Apapun yang terjadi Dian, biarkan urusanmu dan Opick, jangan ada yang kamu libatkan kecuali Allah. Hapus posting (hantaran) itu,” kata guru agama tersebut.
Keluh-kesah Dian itu menceritakan janji-janji pernah dilafazkan Opick semasa menikahinya berbelas tahun dulu.
Dian turut memuat naik lagu ciptaan Opick, Aku Bukan Malaikat, dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza Taruddin.
Ekoran peringatan diberikan itu dan sifat taat kepada guru, Dian akhirnya mengakui kesilapannya.
“Tetap tenang kala badai itu bukan simsalabim, harus bersabar, terima kritikan, patuh dan taat kepada guru.
“Teringat pesan guru-guru hijrah hati kudu pasang kaca mata kuda, fokus, banyak ingat kematian, datang ke majlis ilmu.
“Berdamai dengan keadaan, terima kasih ustazah atas nasihat, semoga boleh diamalkan dalam kehidupan. Maafkan murid yang satu ini,” katanya.
Penyanyi lagu Rapuh dan Tombo Ati itu menikahi Bebi - seorang bekas model dan ahli perniagaan serta janda anak satu - pada 17 November lalu di Hotel Aryaduta Bandung, Jawa Barat.
Terdahulu, Opick atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus berkahwin dengan Dian pada 15 Julai 2002 dan mereka dikurniakan lima orang anak. Mereka bercerai 24 Julai lalu selepas 16 tahun mendirikan rumah tangga.
Selepas Dian, Opick bernikah kali kedua dengan Wulan Maya tetapi wanita itu meninggal dunia selepas melahirkan anak pada 18 Mac lalu.
Opick kemudian dispekulasi menjalin hubungan dengan ahli politik Yuliast Mochammad.

