Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun beberapa kali memenangi anugerah, Amyra Rosli berkata dia bukan seorang pelakon yang perlu mengejar trofi agar bakatnya sebagai anak seni diiktiraf.

Amyra berkata walaupun namanya sering dicalonkan untuk sesebuah anugerah namun ia tidak bermakna dia perlu obses untuk memenanginya.

“Trofi macam hiasan yang diletakkan di rumah, lainlah kalau boleh diganti dengan duit,” katanya bergurau.

Pemilik nama penuh Nur Amyra Izzati Rosli itu ditemui pada majlis pelancaran jus minuman keluarannya Juzfit Fiber Shot di Kuala Lumpur semalam.

Untuk rekod, nama Amyra pernah dicalonkan dan memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur kedua dan Anugerah Skrin ke-22.

Mengulas mengenai sesuatu tawaran berlakon pula kata Amyra, 27, biasanya dia akan memilih peranan mengikut kemampuan dan bersesuaian dengan dirinya.

“Hanya akan bawa watak yang boleh didukung. Saya tak mahu susahkan orang.

“Tapi kalau susah saya kenalah bagi lebih,” katanya.

Muncul dalam naskhah terbaru

Dalam perkembangan terbaru, pelakon drama rantaian popular Nur itu bakal muncul dalam naskhah tersebut bagi musim kedua bermula tahun depan.

Mengakui watak Nur dalam drama diarahkan Shahrulezad Mohameddin itu meninggalkan kesan kepada penonton, Amyra berkata seboleh-bolehnya dia ingin ‘lari’ daripada terus membawakan karakter seakan-akan sama di masa akan datang.

Katanya, dia tidak mahu penonton melabel lakonannya sebagai stereotaip.

“Tak naklah orang asyik ingat saya dengan watak baik je kena ada antagonis sesekali,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai bidang perniagaan yang baru diceburinya, Amyra berkata dia akhirnya berjaya merealisasikan impian itu selepas merancangnya kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, usaha itu dianggap sebagai membuka pintu rezeki baru dan persediaan menghadapi masa depan karier seni yang mungkin tidak menentu.

"Tak tahu sampai bila boleh berlakon dan selama-lamanya akan berada di atas," katanya.

Lihat Komen
ADS