ULASAN | Rungutan dan teka teki khalayak filem tentang lewatnya pelantikan pengerusi, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Finas telah terjawab minggu lalu.

Sebahagian besar daripada teka teki tersebut tidak tepat, sementara sesetengahnya membuat orang bercakap-cakap dan tertanya-tanya.

Barangkali yang diteka-tekikan itu akhirnya akan berlaku juga nanti apabila jawatan yang berstatus dipangku sekarang ini tidak lagi dipangku oleh mereka yang memang sedia berjawatan tinggi di peringkat kementerian.

Mungkin dalam enam bulan lagi atau lebih, apabila penembahbaikan yang dijanjikan selesai.

Untuk saya, saya mula memahami apakah sebenarnya yang dicari dan diformulakan oleh menteri Gobind Singh Deo dan penasihat-penasihat beliau dalam hal berkaitan Finas ini.

Sekian lama, iaitu semenjak 1981 apabila Finas ditubuhkan, agensi ini diterajui dan dikendalikan sebagai sebuah agensi kebudayaan oleh mereka yang berlatarbelakangkan seni budaya.

Malah ada juga masa agensi ini dianggap sebagai agensi penerangan dan agensi perniagaan.

Allahyarham Tan Sri Samad Idris pengerusi Finas yang pertama misalnya (budayawan), Ismail Zain, Ketua Pengarah pertama (kebudayaan), Ketua-ketua pengarah seterusnya, Datuk Zain Hamzah Institu Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) (media/budayawan), Allahyaraham Datuk Sharif Ahmad (kejuruteraan) dan lain-lain kemudiannya melangsungkan sahaja apa yang diasaskan pada mula-mula dahulu.

Dengan sebab itu apabila masa berubah dan skop pembangunan filem melibatkan pelbagai bidang ilmu baru, teknologi dan rangkaian platform pemamiran (penayangan) yang pelbagai dan tanpa sempadan, tuntutan terhadap pengurusan industri ini tentu sekali jauh bezanya dari pengurusan kebudayaan tulen dahulu.

Perubahan 360 darjah

Sudah tentu budaya kerja dan pengurusan di Finas perlukan perubahan 360 darjah, menepati era pengurusan industri 4.0 yang penuh thrilling itu dengan membawa masuk mereka yang mempunyai latar belakang yang khusus dalam bidang pentadbiran dan pengurusan kewangan baru di dalam Finas.

Kehadiran beberapa pengamal industri muda dengan sudut pandang berbeza saya percaya suatu formula atau pendekatan pengurusan baru Finas akan dapat direalisasikan, sebelum penjawat tetap diambil untuk menjalankan operasi sebenar agensi ini nanti.

Cumanya saya berharap sebagai sebuah perbadanan, apabila semuanya telah dimuktamadkan biarlah Finas kekal sebagai perbadanan dengan otonomi pengurusan berasaskan akta penubuhannya.

Usahlah melayan Finas seperti di masa lalu seolah-olah ia sebuah jabatan di mana segala-galanya dari yang sebesar-besar dan sekeci-kecilnya perlu dibawa dan diluluskan oleh pihak kementerian.

Biarlah Finas bergiat tangkas lebih daripada masa-masa lalu.


MAHADI J MURAT ialah pengarah filem.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.