Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sama seperti bidang-bidang lain, dunia seni dan hiburan turut meriah dengan pelbagai warna melibatkan isu semasa sepanjang tahun ini.

Ada antaranya yang panas, tetapi tidak kurang juga lucu dan mendebarkan.

Selain untuk menjadi rekod, ada antaranya yang boleh dijadikan pedoman agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Berikut adalah antara berita utama yang menghangatkan dunia seni dan hiburan negara pilihan Malaysiakini sepanjang 2018:

Band Seventeen dilanda tsunami

Jika pada 2004 Disembernya mencatatkan kejadian tsunami besar sehingga mengorbankan ratusan ribu orang di pelbagai negara, 14 tahun kemudian terjadi pula tsunami yang tidak dijangka.

Antara korbannya, kumpulan muzik Seventeen yang sedang mengadakan persembahan di Tanjung Lesung, Banten, Jawa Barat pada 22 Disember lalu. 

Menurut pakar, tsunami itu berpunca daripada letusan gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda yang mengakibatkan tanah runtuh di bawah dasar laut serta ditambah fenomena air pasang penuh.

Daripada lima anggota Seventeen, empat dilaporkan meninggal dunia. Hanya Riefian Fajarsyah yang selamat. Namun malangnya isteri Riefian - atau Ifan - yang dikenali sebagai Dylan Sahara, turut meninggal dunia.

Pok Ya Cong Codei

Telefilem Pok Ya Cong Codei mencetus fenomena baru apabila lagak gedebe tapi bersahaja dan lucu Sabri Yunus berdialog dialek Kelantan menarik perhatian ramai.

Sabri yang menjadi samseng separuh usia dan berbini muda diupah seorang kaya untuk menyelamatkan anak perempuannya yang dipercayai diculik rakan sekerja.

Selepas wataknya itu menjadi tular, Sabri terpaksa mempatenkan ‘Pok Ya Cong Codei’ kerana bimbang banyak pihak menyalahgunakan nama itu untuk tujuan tertentu. 

Polis Evo 2

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Riduan Mohd Nor menggesa penonton memboikot filem Polis Evo 2 kerana menganggap karya itu sebagai sampah selain jalan ceritanya didakwa memburuk-burukkan imej Islam.

Bagaimanapun, kontroversi itu sebaliknya memberi publisiti tambahan terhadap filem bercorak kepolisan dan aksi yang diterbitkan Astro Shaw pada 22 November lalu.

Raggae dan Dondang Sayang

Muzik reggae dan Dondang Sayang disenaraikan sebagai salah satu daripada khazanah budaya oleh Unesco pada 29 November dan 3 Disember lalu.

One Two Jaga

Walaupun tidak ditayangkan di banyak pawagam ‘kempen’ untuk filem arahan Nam Ron itu berjaya melanjutkan hayatnya di layar lebar.

Filem itu juga mendapat pujian ramai kerana lakonan yang berkualiti dan gaya penceritaan yang realistik.

Munafik 2

Penerbit dan pengarah Munafik 2, Yusof Haslam dan Syamsul Yusof akhirnya mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang pereka grafik yang telah melanggar akta hak cipta filem terbitan mereka.

Tindakan diambil supaya aktiviti memuat naik dan menyebarkan filem itu di media sosial memberi peringatan kepada umum agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Himpunan Penulis Malaysia

Di bawah Malaysia Baru, golongan penulis juga tidak terkecuali menunjukkan wajah baru masing-masing.

Maka dianjurkan Himpunan Penulis Malaysia di UKM, Bangi.

Namun salah seorang penulis yang dijemput menolak untuk hadir. Sebaliknya Faisal Tehrani ‘mengirim’ kata-kata yang menghiris.

“Sastera adalah makanan anjing,” katanya.

Namun kenyataan dikeluarkan Faisal (gambar), salah seorang tenaga akademik di UKM mencetuskan polemik mengenai 'penulis/ sasterawan penjilat'.

Dewan Bahasa dan Pustaka

Di bawah kerajaan baru, DBP antara badan yang diberi perhatian awal. Pernah menjadi pusat perkembangan seni, budaya dan sastera, kewujudan DBP dilihat semakin tidak relevan. 

Jawatan-jawatan utama DBP dibincangkan. Setakat ini kerusi pengerusi sudah diisi namun tempat ketua pengarah masih menjadi tanda tanya, dengan sedikit sebanyak dibayangi desas-desus mengenai pengaruh 'kabel' dan politik.

Lembaga Kemajuan Filem Nasional

Juga kesan tempias daripada Malaysia Baru. Finas ‘diziarahi’ tetamu terdiri daripada penyiasat SPRM. Didakwa berlaku ketirisan dalam pengurusan dananya.

Menjadikan Finas lebih panas ialah isu pengerusi yang tidak diisi beberapa lama dan didakwa menjejaskan perkembangan filem negara.

Bagaimanapun nama pengerusi Finas iaitu Samsuni Mohd Nor - Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) akhirnya diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada 10 Disember lalu.

Lihat Komen
ADS