Penyedia perkhidmatan penstriman video Netflix menarik balik episod dalam rancangan komedi Patriot Act yang dikendalikan pelawak Hasan Minhaj daripada platformnya di Arab Saudi.
Episod itu dipertikai ekoran ia didapati mengaitkan negara terbabit atas pembunuhan ke atas seorang kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi yang berlaku tahun lalu.
Dalam episod berkenaan, Hasan dikatakan menyalahkan Putera Mahkota Mohammed Salman (MbS) atas pembunuhan kejam Jamal serta menyifatkan ia sebagai "tragedi terburuk era MbS."
Hassan juga dikatakan mencadangkan agar syarikat-syarikat teknologi di AS memutuskan hubungan kewangan dengan Arab Saudi.
Menurut jurucakap Netflix, mereka menerima surat peguam yang meminta agar episod berkenaan ditarik balik.
Bagaimanapun, jelas Netflix, pihak mereka menyokong kebebasan berkarya.
“Kami sangat menyokong kebebasan berkarya dan kami hanya menarik episod itu di Arab Saudi selepas menerima surat undang-undang.
“Selain kami juga perlu mematuhi undang-undang tempatan,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik the Hollywood Reporter.
Bagaimanapun, episod berkenaan masih boleh ditonton di saluran YouTube.
Untuk rekod, Netflix memulakan operasinya di Arab Saudi sejak 2016.
Hasan, 33 yang juga merupakan seorang bekas wartawan Daily Show memulakan rancangan Netflix yang pertama Oktober tahun lalu.
Terdahulu, kematian Jamal mengundang perhatian masyarakat global termasuk Hollywood. Jamal seorang wartawan kelahiran Arab Saudi yang bersifat kritikal terhadap Riyadh.
Dia dilaporkan memasuki bangunan konsulat negara itu pada 2 Oktober tahun lalu untuk menguruskan hal pernikahannya namun tidak muncul selepas itu.
Riyadh pada awalnya menegaskan Jamal sudah keluar dari bangunan itu sejurus selepas urusannya selesai sehinggalah tekanan antarabangsa memaksa kerajaan Arab Saudi mengaku penyokong Ikhwanul Muslimin itu meninggal dunia.
Sehingga kini mayat Jamal belum ditemui.
