Netflix beri amaran jangan tiru aksi Bird Box
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil bahagian dalam 'Bird Box Challenge' yang teriliham dari filem hit Netflix, Bird Box.
Netflix melalui kenyataan di Twitter mengingatkan orang ramai bahawa aksi menutup mata dengan kain seperti yang dipaparkan babak dalam filem lakonan Sandra Bullock itu boleh mendatangkan bahaya.
"Tolong jangan cederakan diri sendiri dengan Bird Box Challenge. Kami tidak tahu bagaimana ia bermula, dan kami hargai sokongan, tapi harapan Boy dan Girl untuk 2019, adalah anda tidak masuk hospital kerana parodi," kata kenyataan itu.
Boy dan Girl merujuk dua watak kanak-kanak dalam filem berkenaan.
Selepas Bird Box mula disiarkan di Netflix, pengguna media sosial giat memuat naik rakaman klip video atau gambar mereka melakukan Bird Box Challenge, yang melibatkan aksi menutup mata dengan kain.
Bird Box mengisahkan Sandra yang menjayakan watak Malorie Hayes mempunyai misi mencari lokasi selamat bersama dua anaknya ketika cuba mengelak daripada rasukan entiti yang boleh menyebabkan seseorang membunuh diri sekiranya mereka membuka mata.
Malorie dan anak-anaknya, menutup mata hampir sepanjang penceritaan filem diarahkan Susanne Bier itu.
Bird Box diadaptasi daripada novel yang juga menggunakan nama sama, hasil nukilan penulis dan penyanyi Josh Malerman.
Netflix mula menyiarkan Bird Box di seluruh dunia melalui platformnya pada 21 Dis lalu dan menurut penyedia perkhidmatan itu, karya berkenaan menjadi filem paling ditonton di platform mereka dalam tujuh hari pertama ia disiarkan.

